Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

PETIKAN HARIAN METRO : Emas Jadian @ Luar Betul Dalam Tipu



"Tungsten dicampur dalam jongkong taktik sindiket tipu tambah berat emas sebelum dijual"

Kuala Lumpur : Logam wolfram atau dikenali juga sebagai tungsten dicampur ke dalam jongkong dan produk emas bagi menambah kadar berat sebelum dijual.

Taktik penipuan itu sukar dikesan pengguna dan mereka yang terbabit dalam perniagaan emas berikutan unsur logam berkenaan yang tidak bertindak balas atau melekat pada tarikan kuasa magnet.
Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Operasi Pos Ar-Rahnu Sdn Bhd Abdul Razak Mohd A Kadir yang terbabit dalam urus niaga penjualan, pembelian dan gadaian emas sejak beliau mengendali syarikat berkenaan enam tahun lalu.  

Menurutnya, penggunaan logam tungsten taktik popular digunakan sindiket penipuan emas berikutan unsur logam berkenaan bukan saja tidak melekat pada magnet, tapi turut gagal dikesan melalui kaedah lain.  

“Mesin densimeter, ujian asid dan penggunaan alat pengimbas X-ray Fluorescene (XRF) yang sering digunakan peniaga emas juga tak dapat mengesan kandungan tungsten di dalam produk atau jongkong emas.  

“Ini kerana mesin densimeter hanya mengukur logam saja dan ketumpatan tungsten sama dengan ketumpatan emas. Jadi, ia tidak mengubah bacaan ketumpatan campuran itu.  

“Ujian asid dan X-ray Fluorescene (XRF) pula hanya bertindak di permukaan emas. Jika kepingan tungsten itu disalut emas tebal, ia tidak akan dapat dikesan,” katanyakepada Harian Metro.  

Abdul Razak berkata, lebih memburukkan keadaan apabila sindiket penipuan berkenaan turut menyasarkan orang awam yang tidak mempunyai pengetahuan atau kepakaran dalam menentukan ketulenan emas.  

“Pengguna mudah ditipu ketika membeli barang kemas perhiasan seperti rantai, gelang, cincin serta sebagainya," katanya.  

Menurutnya, kegiatan penipuan yang berlaku pernah menyebabkan sebuah bank tempatan kerugian lebih RM75 juta pada 2012 kerana terdapat ratusan emas palsu mengandungi tungsten dikesan di dalam akaun emas Ar-Rahnu.  

Berikutan itu, kata Abdul Razak, pihaknya sentiasa berhati-hati dalam melakukan urus niaga dengan tidak mengambil pajakan atau gadaian dilakukan pelanggan sekiranya barang kemas berkenaan mencurigakan.  

Katanya, sindiket penipuan emas itu juga kini dikesan cuba memalsukan resit pembelian emas menggunakan nama syarikat terkemuka bagi meyakinkan orang ramai dan syarikat pajak gadai untuk melakukan urus niaga penjualan serta penggadaian.  

“Tindakan itu dikesan selepas Pos Ar-Rahnu melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap urus niaga yang mahu dilakukan sindiket berkenaan dan membatalkan urus niaga selepas menyedari penipuan yang mahu dilakukan.  

“Bagaimanapun, bukan semua individu yang datang mahu melakukan pajak gadai barang kemas mengandungi tungsten itu adalah daripada sindiket penipuan kerana ada juga mereka yang ditipu ketika membeli barangan perhiasan itu," katanya.  

Menurutnya, kebanyakan mereka yang ditipu itu didapati membeli barang kemas seperti rantai, gelang, cincin, loket dan sebagainya menerusi individu persendirian dan bukannya dari kedai. 

Katanya, mereka didapati terpengaruh dengan tawaran harga murah berbanding harga pasaran yang ditawarkan individu atau ahli sindiket penipuan emas berkenaan.  

“Disebabkan tidak mempunyai kepakaran dan pengetahuan orang awam mudah terpedaya kerana resit palsu digunakan sindiket dan mempercayai emas itu tidak mengandungi logam lain selepas mengujinya dengan menggunakan magnet.  

“Emas yang digunakan bagi menyalut tungsten itu juga lebih tebal supaya tidak nampak kandungan unsur logam berwarna lain apabila ditoreh.  

“Malah sindiket turut mempelbagaikan reka bentuk perhiasan emas berkenaan termasuk membuat dalam bentuk bar dan jongkong emas tiruan daripada pengeluar yang sah," katanya.  

Menurutnya, kaedah paling berkesan bagi mengetahui barang kemas itu mengandungi tungsten adalah dengan memotong logam berkenaan bagi melihat kandungan di dalamnya.  

“Sekiranya dipotong, kita dapat melihat perbezaan warna emas dan kepingan tungsten berkenaan yang berwarna perak.  

“Bagaimanapun, kaedah itu tidak dapat boleh digunakan oleh pengusaha perniagaan pajak gadai kerana tertakluk kepada Akta Pajak Gadai 1972, di mana mereka tidak boleh merosakkan barangan yang dipajak gadai pelanggan.  

"Setakat ini, masih belum ada alatan mesin khas bagi mengesan campuran ini dengan mudah," katanya.  


Tulisan : Norizuan Shamsuddin

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment