Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

HDS Anjur Kempen Promosi Sah


Kuala Lumpur : Berikutan isu penipuan seperti skim cepat kaya serta gores dan menang yang hangat diperkatakan, Home Direct Shopping Sdn Bhd (HDS) ingin menegaskan bahawa kempen dijalankan bukan satu bentuk penipuan.

HDS dalam kenyataan berkata, terdapat pihak mempertikaikan hadiah lumayan ditawarkan dan menganggap ia sebagai penipuan.

“HDS ditubuhkan pada September 2014 dan mula beroperasi pada April 2015 dengan memasarkan pelbagai produk harian melalui katalog.

“Antara barangan ditawarkan termasuk barangan dapur, perkakas rumah, barangan penjagaan kulit,tekstil, aksesori wanita, makanan tambahan dan produk kesihatan.

“Selain itu, kami turut menganjurkan Kempen Promosi yang menawarkan tiga hadiah lumayan berbentuk wang tunai bagi menghargai pelanggan," katanya.

Menurutnya, hadiah ditawarkan untuk Kempen Promosi bemilai antara RM3,999 hingga RM150,000 menyebabkan timbul tanggapan bahawa kempen itu tidak benar.

“Kempen Promosi itu dijalankan secara sah dari segi undang-undang Malaysia. Kami mempunyai lesen Jualan Langsung yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Semua kempen yang dianjurkan dan produk yang dipasarkan HDS turut mendapat kelulusan KPDNKK. Setakat ini, HDS menganjurkan lebih 12 Kempen Promosi dengan lebih 36 pemenang yang mana RM2.2 juta wang tunai diagihkan kepada pemenang," katanya.

Sumber : Harian Metro
Tarikh : 07 April 2018

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

RM5,346 Satu Auns

Poh Kong Holdings Bhd (Poh Kong), peruncit dan pengilang emas terbesar d1 Malaysia menjangkakan harga emas akan meningkat sehingga AS$l,350
(RM5,346) satu auns dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Choon Yee Seiong berkata, peningkatan itu disebabkan sentimen pengguna yang menggalakan selain suasana geopolitik serantau serta ketidakpastian dalam ekonomi global.

Beliau berkata, berdasarkan analisis unjuran emas global, harga logam berkenaan boleh mencecah paras tertingginya pada AS$1,500
(RM5,940) pada penghujung tahun ini.

“Secara umumnya, harga komoditi itu mengalami peningkatan 13.5 peratus kepada AS$1,300 (RM5,147) satu auns daripada AS$1,200 (RM4,751) satu auns pada 2016.

“Bagi 2018, logam berharga itu dijangka terus meningkat disebabkan ketidakstabilan ekonomi dunia dan ringgit menguatkan berbanding dolar Amerika Syarikat,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Choon berkata, syarikat optimis peningkatan harga emas
global itu bakal membantu prestasi kewangan Poh Kong pada tahun kewangan 2018.

Beliau berkata, prestasi kewangan syarikat tahun ini juga akan turut disumbang dengan pembukaan tiga kedai barunya dengan anggaran perbelanjaan modal antara RM9 juta dan RM15 juta.

"Dua kedai terletak di Johor Bahru antara lokasi utama yang menyumbang kepada jualan emas syarikat dan pembukaan dua kedai ini dijangka mampu menguatkan lagi pendapatan kami.

“Selain itu, Poh Kong juga akan bekerjasama dengan beberapa platform e-dagang bagi memasarkan produk emas kami secara atas talian," katanya.

Keuntungan sebelum cukai Poh Kong bagi lahun kewangan yang berakhir 31 Julai 2017 meningkat RM20 juta kepada RM37.48 juta daripada RM17.48 juta dalam tahun kewangan sebelumnya.

Sumber : Harian Metro
Tarikh : 18 Januari 2018
Penulis : Alzahrin Alias


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

PETIKAN BERITA HARIAN : Ketua PPIM sangkut CTOS



"Saya rasa tidak selesa kerana banyak maklumat yang terlalu peribadi seperti alamat rumah lama dan syarikat lama ada di situ”
Nadzim Johan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Kuala Lumpur:  Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mendakwa antara individu yang disenaraikan dalam agensi pelaporan kredit, CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) bagi hutang yang sudah dijelaskan pada 1976.  

Katanya, beliau hanya menye dari ada dalam senarai CTOS pada Oktober lalu apabila dia berurusan dengan sebuah bank.

Justeru beliau mempertikaikan bagaimana maklumat kreditnya masih ada dalam senarai walaupun hutangnya berjumlah RM82,597 diselesaikan sepenuhnya pada tahun 1976 lagi.

“Saya rasa tidak selesa kerana banyak maklumat yang terlalu peribadi seperti alamat rumah lama dan syarikat lama ada di situ,” katanya.

Katanya, kes itu adalah satu contoh daripada beribu aduan yang diterima oleh PPIM yang mendakwa nama tidak dikeluarkan daripada senarai CTOS oleh syarikat berkaitan walaupun pembayaran penuh sudah dilakukan.

“PPIM tidak menentang CTOS, tetapi menegaskan kaedah penyenaraian individu yang belum pun pernah dikenakan apa-apa tindakan undang-undang atau mendapat perintah mahkamah disenaraikan terlebih dulu dalam APK,” katanya.

Justeru, katanya, takrifan undang-undang mengenai 'boleh mendedahkan maklumat pelanggan' kepada pihak ketiga perlu diperjelaskan.

“Contohnya nama saya disenaraihitamkan oleh syarikat telekomunikasi kerana ada pihak menggunakan identiti saya untuk mendaftar dan kerana penganiayaan itu saya terpaksa pula berusaha membersihkan nama di mahkamah,” katanya.

SUMBER : Berita Harian
TARIKH : 18/11/2016


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

PETIKAN BERITA HARIAN : Hutang Bil Telefon Sekat Pinjaman Bank



"Ada permohonan ditolak angkara tak bayar RM42"

Kuala Lumpur : Hanya kerana hutang bil telefon bimbit, ada yang serendah RM42, sekurang-kurangnya 78,400 pemilik akaun tidak dapat mendaftar semula perkhidmatan itu selain berdepan kesukaran mendapat pinjaman bank, selepas nama masing-masing disenaraikan dalam pangkalan data sebuah agensi pelaporan kredit (APK).

Bagaimanapun, persoalan timbul kerana tindakan syarikat telekomunikasi memasukkan data pelanggan yang ada masalah bil ke APK memberi kesan yang besar dan menyukarkan mereka walaupun hutang tidak seberapa yang sepatutnya diselesaikan dengan cara lain.

Persatuan Pemilik-Pemilik Telefon Bimbit Malaysia (PERBIT) mendedahkan, setiap pemilik akaun yang menjadi mangsa itu, mempunyai bil tidak dilunaskan berjumlah antara RM42 hingga RM5,460 dengan tunggakan berjumlah kira-kira RM5 juta.

Henti penggunaan
Presiden PERBIT, Mohd Ali Ibrahim, memberitahu BH, pihaknya mengetahui jumlah pemilik akuan yang disenaraikan dalam data APK terbabit, selepas memperolehnya daripada semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes dirujuk kepada pihaknya, pelanggan menghentikan penggunaan talian pascabayar terbabit, selepas mendakwa perkhidmatan yang diterima tidak seperti dijanjikan pada peringkat awal.

Katanya, pemilik pula tidak mengetahui tunggakan serta gagal dimaklumkan syarikat telekomunikasi sebelum nama mereka disenaraikan ke APK menyebabkan berlakunya penganiayaan dan hanya disedari mangsa ketika cuba mendaftar talian pasca bayar yang baharu dengan syarikat lain. 

“Kebanyakan berpunca daripada kegagalan syarikat telekomunikasi memastikan ejen jualan mereka tidak memperdaya pelanggan dengan khidmat yang tidak mampu disediakan.

”Contohnya, ejen jualan menjanjikan jaringan internet berkelajuan tinggi, namun hakikatnya akses gagal dicapai di kawasan tertentu menyebabkan pelanggan kecewa dan menamatkan perkhidmatan berkenaan," katanya.

Tanggungjawab syarikat telekomunikasi
Mohd Ali berkata, sepatutnya semua syarikat telekomunikasi memaklumkan pelanggan masing-masing mengenai tunggakan bil yang ada dengan memberi tempoh rasional untuk menjelaskan bayaran atau membuat tuntutan mahkamah.

Katanya, pihaknya menerima pelbagai kes pemilik telefon bimbit yang disenaraikan dalam APK hingga menyebabkan mereka terpaksa mendaftar talian baharu menggunakan nama dan dokumen peribadi orang lain.

“Masa sama juga, rekod mereka yang disimpan dalam pangkalan data agensi rujukan kredit ini juga dirujuk oleh institusi perbankan tempatan dalam menentukan kelayakan individu atau syarikat yang tersenarai sama ada layak mendapat sebarang pembiayaan yang ditawarkan,” katanya.

Buka 50 pusat aduan
Beliau berkata, semakan pihaknya mendapati jika hutang pelanggan dengan syarikat telekomunikasi tinggi, peluang mendapat pinjaman baharu di bank adalah sukar.  

Mohd Ali berkata, berikutan pelbagai isu berbangkit mengenai perkhidmatan telekomunikasi tempatan, pihaknya merancang membuka 50 pusat aduan secara berperingkat di seluruh negara mulai awal tahun depan.  

Tulisan : Wan Noor Hayati Wan Alias

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

PETIKAN HARIAN METRO : Emas Jadian @ Luar Betul Dalam Tipu



"Tungsten dicampur dalam jongkong taktik sindiket tipu tambah berat emas sebelum dijual"

Kuala Lumpur : Logam wolfram atau dikenali juga sebagai tungsten dicampur ke dalam jongkong dan produk emas bagi menambah kadar berat sebelum dijual.

Taktik penipuan itu sukar dikesan pengguna dan mereka yang terbabit dalam perniagaan emas berikutan unsur logam berkenaan yang tidak bertindak balas atau melekat pada tarikan kuasa magnet.
Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Operasi Pos Ar-Rahnu Sdn Bhd Abdul Razak Mohd A Kadir yang terbabit dalam urus niaga penjualan, pembelian dan gadaian emas sejak beliau mengendali syarikat berkenaan enam tahun lalu.  

Menurutnya, penggunaan logam tungsten taktik popular digunakan sindiket penipuan emas berikutan unsur logam berkenaan bukan saja tidak melekat pada magnet, tapi turut gagal dikesan melalui kaedah lain.  

“Mesin densimeter, ujian asid dan penggunaan alat pengimbas X-ray Fluorescene (XRF) yang sering digunakan peniaga emas juga tak dapat mengesan kandungan tungsten di dalam produk atau jongkong emas.  

“Ini kerana mesin densimeter hanya mengukur logam saja dan ketumpatan tungsten sama dengan ketumpatan emas. Jadi, ia tidak mengubah bacaan ketumpatan campuran itu.  

“Ujian asid dan X-ray Fluorescene (XRF) pula hanya bertindak di permukaan emas. Jika kepingan tungsten itu disalut emas tebal, ia tidak akan dapat dikesan,” katanyakepada Harian Metro.  

Abdul Razak berkata, lebih memburukkan keadaan apabila sindiket penipuan berkenaan turut menyasarkan orang awam yang tidak mempunyai pengetahuan atau kepakaran dalam menentukan ketulenan emas.  

“Pengguna mudah ditipu ketika membeli barang kemas perhiasan seperti rantai, gelang, cincin serta sebagainya," katanya.  

Menurutnya, kegiatan penipuan yang berlaku pernah menyebabkan sebuah bank tempatan kerugian lebih RM75 juta pada 2012 kerana terdapat ratusan emas palsu mengandungi tungsten dikesan di dalam akaun emas Ar-Rahnu.  

Berikutan itu, kata Abdul Razak, pihaknya sentiasa berhati-hati dalam melakukan urus niaga dengan tidak mengambil pajakan atau gadaian dilakukan pelanggan sekiranya barang kemas berkenaan mencurigakan.  

Katanya, sindiket penipuan emas itu juga kini dikesan cuba memalsukan resit pembelian emas menggunakan nama syarikat terkemuka bagi meyakinkan orang ramai dan syarikat pajak gadai untuk melakukan urus niaga penjualan serta penggadaian.  

“Tindakan itu dikesan selepas Pos Ar-Rahnu melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap urus niaga yang mahu dilakukan sindiket berkenaan dan membatalkan urus niaga selepas menyedari penipuan yang mahu dilakukan.  

“Bagaimanapun, bukan semua individu yang datang mahu melakukan pajak gadai barang kemas mengandungi tungsten itu adalah daripada sindiket penipuan kerana ada juga mereka yang ditipu ketika membeli barangan perhiasan itu," katanya.  

Menurutnya, kebanyakan mereka yang ditipu itu didapati membeli barang kemas seperti rantai, gelang, cincin, loket dan sebagainya menerusi individu persendirian dan bukannya dari kedai. 

Katanya, mereka didapati terpengaruh dengan tawaran harga murah berbanding harga pasaran yang ditawarkan individu atau ahli sindiket penipuan emas berkenaan.  

“Disebabkan tidak mempunyai kepakaran dan pengetahuan orang awam mudah terpedaya kerana resit palsu digunakan sindiket dan mempercayai emas itu tidak mengandungi logam lain selepas mengujinya dengan menggunakan magnet.  

“Emas yang digunakan bagi menyalut tungsten itu juga lebih tebal supaya tidak nampak kandungan unsur logam berwarna lain apabila ditoreh.  

“Malah sindiket turut mempelbagaikan reka bentuk perhiasan emas berkenaan termasuk membuat dalam bentuk bar dan jongkong emas tiruan daripada pengeluar yang sah," katanya.  

Menurutnya, kaedah paling berkesan bagi mengetahui barang kemas itu mengandungi tungsten adalah dengan memotong logam berkenaan bagi melihat kandungan di dalamnya.  

“Sekiranya dipotong, kita dapat melihat perbezaan warna emas dan kepingan tungsten berkenaan yang berwarna perak.  

“Bagaimanapun, kaedah itu tidak dapat boleh digunakan oleh pengusaha perniagaan pajak gadai kerana tertakluk kepada Akta Pajak Gadai 1972, di mana mereka tidak boleh merosakkan barangan yang dipajak gadai pelanggan.  

"Setakat ini, masih belum ada alatan mesin khas bagi mengesan campuran ini dengan mudah," katanya.  


Tulisan : Norizuan Shamsuddin

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

PETIKAN HARIAN METRO : Auta Tawar Pajak Hotel



"Dalang pelaburan MIH guna dokumen sewa kenderaan berbahasa Arab perdaya orang ramai"

Kuala Lumpur : Surat perjanjian perniagaan pajakan hotel di Tanah Suci yang kononnya diterima daripada saudagar Arab untuk menipu orang ramai sebaliknya hanya dokumen urusan sewa kenderaan seperti bas dan van pelancongan.

Suspek utama yang juga dalang penipuan pelabuan Mecca Islamic Hotel (MIH) berusia 40-an dikesan menggunakan dokumen berbahasa Arab itu untuk memperdaya orang ramai melabur jutaan ringgit.

Sumber memberitahu Harian Metro, dokumen perjanjian yang dicetak di atas kertas bersaiz A4 itu digunakan pengasas MIH bagi meyakinkan pelabur baru.

“Semakan mendapati dokumen itu hanya perjanjian urusan sewa kenderaan di sana sekiranya pihak mereka mahu mengerjakan umrah. Individu di Tanah Suci boleh menyediakannya percuma atau separuh harga.

“Bagaimanapun, dokumen itu langsung tidak menyebut berhubung tawaran sebagai rakan kongsi dalam perniagaan pajakan hotel seperti didakwa suspek sehingga membolehkan dia mewujudkan skim MIH ini," katanya.

Sumber berkata, semakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersama Kementerian Pelancongan Malaysia juga mendapati suspek hanya menyewa dua bilik hotel di sana sedangkan dia mendakwa saudagar Arab berkenaan menawarkan semua bilik di tingkat tujuh Hotel Al-Safwa.

“Lebih menimbulkan keraguan apabila semakan bersama pihak pengurusan Menara Al-Safwa yang menguruskan rangkaian hotel mewah bertaraf lima bintang di sama juga menafikan urus niaga berkenaan.” katanya.

Sementara itu, Al-Safwa Royal Orchid memuat naik status penafian pihak mereka terbabit dalam pelaburan berkenaan pada 24 Januari lalu.

Dalam status berkenaan, pihak hotel memberi kenyataan rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia selain memuat naik laman Facebook skim MIH dan gambar suspek terbabit.

Isnin lalu, pengasas skim MIH bersama anak dan pembantu peribadinya ditahan sepasukan polis dari JSJK Bukit Aman di sebuah hotel di Kuantan, Pahang

Isterinya pula ditemui menyorok di bawah katil ketika serbuan kedua di sebuah rumah di Kuching, Sarawak, selepas melarikan wang pelaburan milik mangsa berjumlah lebih RM3 juta.

Tulisan : Asmah Rusman

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS