Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Emas dijangka cecah RM503 satu gram menjelang 2020

Standard Chartered Bank mengunjurkan harga emas bakal mencecah AS$5,000 seauns atau kira-kira AS$160 (RM530) satu gram menjelang 2020, disokong permintaan kukuh dari China dan India.


Ketua Penyelidik Global Komoditi, Hsi Han Oin berkata ada kaitan ketara antara pendapatan isi rumah di China dan India dengan harga emas kerana sebarang peningkatan pendapatan boleh guna di dua negara pembeli emas utama dunia itu akan mendorong peningkatan permintaan pada logam berharga berkenaan.

Beliau berkata, langkah bank pusat seluruh dunia mengumpul emas bagi mempelbagaikan rizab masing-masing juga membantu melonjakkan harga logam berharga itu untuk terus kekal tinggi.

"Kebimbangan terhadap krisis hutang Eropah dan pertumbuhan perlahan ekonomi Amerika Syarikat (AS) akan terus menggalakkan pelabur dan bank pusat membeli emas",katanya pada siri taklimat penyelidikan global 2012 di Kuala Lumpur semalam.

Hsi menambah, harga emas juga akan disokong persekitaran kadar faedah sebenar yang negatif apabila banyak bank pusat dijangka menurunkan kadar faedah atau mengekalkannya pada paras terendah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara masing-masing.

Sepanjang 2011, harga emas meningkat 10% dengan mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada AS$1,920.30 seauns atau AS$61 (RM194) satu gram September lalu berikutan kebimbangan krisis hutang di Eropah dan pertumbuhan ekonomi AS yang perlahan.

Bagaimanapun, pada Disember lalu, harganya jatuh mendadak berikutan pengukuhan dolar AS dan penjualan berterusan oleh dana lindung nilai.

Pada dagangan semalam, harga emas meningkat 11 sen kepada RM159.93 satu gram.

Mengenai ekonomi Malaysia, Ketua Penyelidik Asia Tenggara Standard Chartered Bank, Tai Hui mengunjurkan ekonomi negara ini akan berkembang 2.7% tahun ini berbanding 4.8% tahun lalu berikutan ketidaktentuan ekonomi global.

Katanya, sektor komoditi akan menjadi pemangkin utama yang menentukan pertumbuhan tahun ini, sama seperti tahun lalu dengan minyak sawit, getah dan gas asli cecair penyumbang 70% kepada pertumbuhan 8% eksport Malaysia dalam tempoh sembilan bulan lalu.

Beliau berkata, harga komoditi juga memainkan peranan penting dalam perbelanjaan penduduk Malaysia terutama di kawasan kampung.

"harga komoditi yang tinggi akan membantu ekonomi domestik berdepan dengan ketidaktentuan di pasaran global,"katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan harga CPO akan berada pada paras RM3,450 setan tahun ini, meningkat daripada RM3,216 setan tahun lalu.

Tai berkata, inflasi dijangka berkurangan kepada 2.6% tahun ini berbanding 3.3% lalu berikutan kestabilan harga komoditi dan makanan.

Beliau berkata, pihaknya juga mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan kadar dasar semalam (OPR) sebanyak 0.5% tahun ini, bermula dengan pengurangan 0.25% pada Mac ini.

Bank itu mengunjurkan ringgit akan mencecah paras RM3.03 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini, disokong harga komoditi yang kukuh. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Emas - 17 Januari 2012

Harga emas kembali kukuh di pasaran Eropah semalam, meningkat melebihi paras AS$1,640 satu auns, ketika pemulihan di pasaran saham dan euro menyebabkan sedikit tekanan kepada harganya dengan peniaga mengambil kira penurunan penarafan zon Eropah oleh Standard & Poor's (S&P).

Mata wang euro mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan, manakala pasaran saham Eropah kembali ke paras positif, sementara harga minyak turut meningkat.

Harga emas naik 0.1% kepada AS$1,641.50 satu auns pada 1007 GMT, manakala dagangan harga emas hadapan di AS untuk penghantaran Febuari naik AS$11.40 satu auns kepada AS$1,642.20.

Harga komoditi itu masih meningkat 5% bulan ini, tetapi jatuh 0.6% Jumaat lalu ketika euro jatuh selepas penurunan penarafan S&P.

Hubungan harga emas dengan berita buruk krisis hutang zon euro tidak menentu sejak tahun lalu dengan komoditi itu kadang kala meraih faedah daripada kebimbangan penurunan mata wang, dan kadang kala turut menerima kesan negatif daripada pengukuhan dolar AS.

"Emas bukan pelindung terhadap masalah zon euro, sekurang-kurangnya sehingga kini. Ia mungkin berbeza jika senario lebih buruk berlaku", kata penganalisis di Penyelidikan Kuantitatif Komoditi, Peter Fertig.

"Ketika ini emas bergerak selari pergerakan penukaran, begitu juga minyak mentah dan pasaran saham, terutama indeks S&P 500," katanya.

Pasaran saham dan mata wang euro jatuh pada awal dagangan selepas agensi penarafan, Standard & Poor's menurunkan penarafan 9 daripada 17 negara Eropah. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS