Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

PETIKAN BERITA HARIAN : Hutang Bil Telefon Sekat Pinjaman Bank



"Ada permohonan ditolak angkara tak bayar RM42"

Kuala Lumpur : Hanya kerana hutang bil telefon bimbit, ada yang serendah RM42, sekurang-kurangnya 78,400 pemilik akaun tidak dapat mendaftar semula perkhidmatan itu selain berdepan kesukaran mendapat pinjaman bank, selepas nama masing-masing disenaraikan dalam pangkalan data sebuah agensi pelaporan kredit (APK).

Bagaimanapun, persoalan timbul kerana tindakan syarikat telekomunikasi memasukkan data pelanggan yang ada masalah bil ke APK memberi kesan yang besar dan menyukarkan mereka walaupun hutang tidak seberapa yang sepatutnya diselesaikan dengan cara lain.

Persatuan Pemilik-Pemilik Telefon Bimbit Malaysia (PERBIT) mendedahkan, setiap pemilik akaun yang menjadi mangsa itu, mempunyai bil tidak dilunaskan berjumlah antara RM42 hingga RM5,460 dengan tunggakan berjumlah kira-kira RM5 juta.

Henti penggunaan
Presiden PERBIT, Mohd Ali Ibrahim, memberitahu BH, pihaknya mengetahui jumlah pemilik akuan yang disenaraikan dalam data APK terbabit, selepas memperolehnya daripada semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes dirujuk kepada pihaknya, pelanggan menghentikan penggunaan talian pascabayar terbabit, selepas mendakwa perkhidmatan yang diterima tidak seperti dijanjikan pada peringkat awal.

Katanya, pemilik pula tidak mengetahui tunggakan serta gagal dimaklumkan syarikat telekomunikasi sebelum nama mereka disenaraikan ke APK menyebabkan berlakunya penganiayaan dan hanya disedari mangsa ketika cuba mendaftar talian pasca bayar yang baharu dengan syarikat lain. 

“Kebanyakan berpunca daripada kegagalan syarikat telekomunikasi memastikan ejen jualan mereka tidak memperdaya pelanggan dengan khidmat yang tidak mampu disediakan.

”Contohnya, ejen jualan menjanjikan jaringan internet berkelajuan tinggi, namun hakikatnya akses gagal dicapai di kawasan tertentu menyebabkan pelanggan kecewa dan menamatkan perkhidmatan berkenaan," katanya.

Tanggungjawab syarikat telekomunikasi
Mohd Ali berkata, sepatutnya semua syarikat telekomunikasi memaklumkan pelanggan masing-masing mengenai tunggakan bil yang ada dengan memberi tempoh rasional untuk menjelaskan bayaran atau membuat tuntutan mahkamah.

Katanya, pihaknya menerima pelbagai kes pemilik telefon bimbit yang disenaraikan dalam APK hingga menyebabkan mereka terpaksa mendaftar talian baharu menggunakan nama dan dokumen peribadi orang lain.

“Masa sama juga, rekod mereka yang disimpan dalam pangkalan data agensi rujukan kredit ini juga dirujuk oleh institusi perbankan tempatan dalam menentukan kelayakan individu atau syarikat yang tersenarai sama ada layak mendapat sebarang pembiayaan yang ditawarkan,” katanya.

Buka 50 pusat aduan
Beliau berkata, semakan pihaknya mendapati jika hutang pelanggan dengan syarikat telekomunikasi tinggi, peluang mendapat pinjaman baharu di bank adalah sukar.  

Mohd Ali berkata, berikutan pelbagai isu berbangkit mengenai perkhidmatan telekomunikasi tempatan, pihaknya merancang membuka 50 pusat aduan secara berperingkat di seluruh negara mulai awal tahun depan.  

Tulisan : Wan Noor Hayati Wan Alias

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment