Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

PETIKAN BERITA HARIAN : Ketua PPIM sangkut CTOS



"Saya rasa tidak selesa kerana banyak maklumat yang terlalu peribadi seperti alamat rumah lama dan syarikat lama ada di situ”
Nadzim Johan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Kuala Lumpur:  Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mendakwa antara individu yang disenaraikan dalam agensi pelaporan kredit, CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) bagi hutang yang sudah dijelaskan pada 1976.  

Katanya, beliau hanya menye dari ada dalam senarai CTOS pada Oktober lalu apabila dia berurusan dengan sebuah bank.

Justeru beliau mempertikaikan bagaimana maklumat kreditnya masih ada dalam senarai walaupun hutangnya berjumlah RM82,597 diselesaikan sepenuhnya pada tahun 1976 lagi.

“Saya rasa tidak selesa kerana banyak maklumat yang terlalu peribadi seperti alamat rumah lama dan syarikat lama ada di situ,” katanya.

Katanya, kes itu adalah satu contoh daripada beribu aduan yang diterima oleh PPIM yang mendakwa nama tidak dikeluarkan daripada senarai CTOS oleh syarikat berkaitan walaupun pembayaran penuh sudah dilakukan.

“PPIM tidak menentang CTOS, tetapi menegaskan kaedah penyenaraian individu yang belum pun pernah dikenakan apa-apa tindakan undang-undang atau mendapat perintah mahkamah disenaraikan terlebih dulu dalam APK,” katanya.

Justeru, katanya, takrifan undang-undang mengenai 'boleh mendedahkan maklumat pelanggan' kepada pihak ketiga perlu diperjelaskan.

“Contohnya nama saya disenaraihitamkan oleh syarikat telekomunikasi kerana ada pihak menggunakan identiti saya untuk mendaftar dan kerana penganiayaan itu saya terpaksa pula berusaha membersihkan nama di mahkamah,” katanya.

SUMBER : Berita Harian
TARIKH : 18/11/2016


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

PETIKAN BERITA HARIAN : Hutang Bil Telefon Sekat Pinjaman Bank



"Ada permohonan ditolak angkara tak bayar RM42"

Kuala Lumpur : Hanya kerana hutang bil telefon bimbit, ada yang serendah RM42, sekurang-kurangnya 78,400 pemilik akaun tidak dapat mendaftar semula perkhidmatan itu selain berdepan kesukaran mendapat pinjaman bank, selepas nama masing-masing disenaraikan dalam pangkalan data sebuah agensi pelaporan kredit (APK).

Bagaimanapun, persoalan timbul kerana tindakan syarikat telekomunikasi memasukkan data pelanggan yang ada masalah bil ke APK memberi kesan yang besar dan menyukarkan mereka walaupun hutang tidak seberapa yang sepatutnya diselesaikan dengan cara lain.

Persatuan Pemilik-Pemilik Telefon Bimbit Malaysia (PERBIT) mendedahkan, setiap pemilik akaun yang menjadi mangsa itu, mempunyai bil tidak dilunaskan berjumlah antara RM42 hingga RM5,460 dengan tunggakan berjumlah kira-kira RM5 juta.

Henti penggunaan
Presiden PERBIT, Mohd Ali Ibrahim, memberitahu BH, pihaknya mengetahui jumlah pemilik akuan yang disenaraikan dalam data APK terbabit, selepas memperolehnya daripada semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes dirujuk kepada pihaknya, pelanggan menghentikan penggunaan talian pascabayar terbabit, selepas mendakwa perkhidmatan yang diterima tidak seperti dijanjikan pada peringkat awal.

Katanya, pemilik pula tidak mengetahui tunggakan serta gagal dimaklumkan syarikat telekomunikasi sebelum nama mereka disenaraikan ke APK menyebabkan berlakunya penganiayaan dan hanya disedari mangsa ketika cuba mendaftar talian pasca bayar yang baharu dengan syarikat lain. 

“Kebanyakan berpunca daripada kegagalan syarikat telekomunikasi memastikan ejen jualan mereka tidak memperdaya pelanggan dengan khidmat yang tidak mampu disediakan.

”Contohnya, ejen jualan menjanjikan jaringan internet berkelajuan tinggi, namun hakikatnya akses gagal dicapai di kawasan tertentu menyebabkan pelanggan kecewa dan menamatkan perkhidmatan berkenaan," katanya.

Tanggungjawab syarikat telekomunikasi
Mohd Ali berkata, sepatutnya semua syarikat telekomunikasi memaklumkan pelanggan masing-masing mengenai tunggakan bil yang ada dengan memberi tempoh rasional untuk menjelaskan bayaran atau membuat tuntutan mahkamah.

Katanya, pihaknya menerima pelbagai kes pemilik telefon bimbit yang disenaraikan dalam APK hingga menyebabkan mereka terpaksa mendaftar talian baharu menggunakan nama dan dokumen peribadi orang lain.

“Masa sama juga, rekod mereka yang disimpan dalam pangkalan data agensi rujukan kredit ini juga dirujuk oleh institusi perbankan tempatan dalam menentukan kelayakan individu atau syarikat yang tersenarai sama ada layak mendapat sebarang pembiayaan yang ditawarkan,” katanya.

Buka 50 pusat aduan
Beliau berkata, semakan pihaknya mendapati jika hutang pelanggan dengan syarikat telekomunikasi tinggi, peluang mendapat pinjaman baharu di bank adalah sukar.  

Mohd Ali berkata, berikutan pelbagai isu berbangkit mengenai perkhidmatan telekomunikasi tempatan, pihaknya merancang membuka 50 pusat aduan secara berperingkat di seluruh negara mulai awal tahun depan.  

Tulisan : Wan Noor Hayati Wan Alias

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

PETIKAN HARIAN METRO : Emas Jadian @ Luar Betul Dalam Tipu



"Tungsten dicampur dalam jongkong taktik sindiket tipu tambah berat emas sebelum dijual"

Kuala Lumpur : Logam wolfram atau dikenali juga sebagai tungsten dicampur ke dalam jongkong dan produk emas bagi menambah kadar berat sebelum dijual.

Taktik penipuan itu sukar dikesan pengguna dan mereka yang terbabit dalam perniagaan emas berikutan unsur logam berkenaan yang tidak bertindak balas atau melekat pada tarikan kuasa magnet.
Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Operasi Pos Ar-Rahnu Sdn Bhd Abdul Razak Mohd A Kadir yang terbabit dalam urus niaga penjualan, pembelian dan gadaian emas sejak beliau mengendali syarikat berkenaan enam tahun lalu.  

Menurutnya, penggunaan logam tungsten taktik popular digunakan sindiket penipuan emas berikutan unsur logam berkenaan bukan saja tidak melekat pada magnet, tapi turut gagal dikesan melalui kaedah lain.  

“Mesin densimeter, ujian asid dan penggunaan alat pengimbas X-ray Fluorescene (XRF) yang sering digunakan peniaga emas juga tak dapat mengesan kandungan tungsten di dalam produk atau jongkong emas.  

“Ini kerana mesin densimeter hanya mengukur logam saja dan ketumpatan tungsten sama dengan ketumpatan emas. Jadi, ia tidak mengubah bacaan ketumpatan campuran itu.  

“Ujian asid dan X-ray Fluorescene (XRF) pula hanya bertindak di permukaan emas. Jika kepingan tungsten itu disalut emas tebal, ia tidak akan dapat dikesan,” katanyakepada Harian Metro.  

Abdul Razak berkata, lebih memburukkan keadaan apabila sindiket penipuan berkenaan turut menyasarkan orang awam yang tidak mempunyai pengetahuan atau kepakaran dalam menentukan ketulenan emas.  

“Pengguna mudah ditipu ketika membeli barang kemas perhiasan seperti rantai, gelang, cincin serta sebagainya," katanya.  

Menurutnya, kegiatan penipuan yang berlaku pernah menyebabkan sebuah bank tempatan kerugian lebih RM75 juta pada 2012 kerana terdapat ratusan emas palsu mengandungi tungsten dikesan di dalam akaun emas Ar-Rahnu.  

Berikutan itu, kata Abdul Razak, pihaknya sentiasa berhati-hati dalam melakukan urus niaga dengan tidak mengambil pajakan atau gadaian dilakukan pelanggan sekiranya barang kemas berkenaan mencurigakan.  

Katanya, sindiket penipuan emas itu juga kini dikesan cuba memalsukan resit pembelian emas menggunakan nama syarikat terkemuka bagi meyakinkan orang ramai dan syarikat pajak gadai untuk melakukan urus niaga penjualan serta penggadaian.  

“Tindakan itu dikesan selepas Pos Ar-Rahnu melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap urus niaga yang mahu dilakukan sindiket berkenaan dan membatalkan urus niaga selepas menyedari penipuan yang mahu dilakukan.  

“Bagaimanapun, bukan semua individu yang datang mahu melakukan pajak gadai barang kemas mengandungi tungsten itu adalah daripada sindiket penipuan kerana ada juga mereka yang ditipu ketika membeli barangan perhiasan itu," katanya.  

Menurutnya, kebanyakan mereka yang ditipu itu didapati membeli barang kemas seperti rantai, gelang, cincin, loket dan sebagainya menerusi individu persendirian dan bukannya dari kedai. 

Katanya, mereka didapati terpengaruh dengan tawaran harga murah berbanding harga pasaran yang ditawarkan individu atau ahli sindiket penipuan emas berkenaan.  

“Disebabkan tidak mempunyai kepakaran dan pengetahuan orang awam mudah terpedaya kerana resit palsu digunakan sindiket dan mempercayai emas itu tidak mengandungi logam lain selepas mengujinya dengan menggunakan magnet.  

“Emas yang digunakan bagi menyalut tungsten itu juga lebih tebal supaya tidak nampak kandungan unsur logam berwarna lain apabila ditoreh.  

“Malah sindiket turut mempelbagaikan reka bentuk perhiasan emas berkenaan termasuk membuat dalam bentuk bar dan jongkong emas tiruan daripada pengeluar yang sah," katanya.  

Menurutnya, kaedah paling berkesan bagi mengetahui barang kemas itu mengandungi tungsten adalah dengan memotong logam berkenaan bagi melihat kandungan di dalamnya.  

“Sekiranya dipotong, kita dapat melihat perbezaan warna emas dan kepingan tungsten berkenaan yang berwarna perak.  

“Bagaimanapun, kaedah itu tidak dapat boleh digunakan oleh pengusaha perniagaan pajak gadai kerana tertakluk kepada Akta Pajak Gadai 1972, di mana mereka tidak boleh merosakkan barangan yang dipajak gadai pelanggan.  

"Setakat ini, masih belum ada alatan mesin khas bagi mengesan campuran ini dengan mudah," katanya.  


Tulisan : Norizuan Shamsuddin

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS