Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

PETIKAN HARIAN METRO : Datuk Rancang Cabut Lari



Dalang skim pelaburan Makkah Islamic Hotel mahu pindah wang ke luar negara.

Kuala Lumpur : Seorang dalang penipuan pelaburan Makkah Islamic Hotel (MIH) bergelar Datuk dipercayai cuba melarikan diri keluar negara susulan penemuan bekalan bungkusan mi segera di dalam bilik hotel di Kuantan, Pahang.

Malah lelaki berusia 43 tahun itu didapati sudah melakukan persiapan rapi apabila mengeluarkan semua wang kutipan pelaburan diperoleh dari bank tempatan sebelum dipindahkan ke luar negara. 

Difahamkan suspek yang juga pengasas serta ejen tunggal skim pelaburan itu merancang melarikan diri selepas pelabur mula naik angin akibat gagal menerima pulangan lumayan pelaburan dijanjikan September lalu.

Dalam serbuan jam 5 petang kelmarin, lelaki itu diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersama anak lelakinya berusia 19 tahun dan seorang pembantu peribadi berusia 20 tahun.

Susulan itu, polis melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Kuching, Sarawak, bagi mengesan isteri pengasas skim itu berusia 41 tahun yang aktif membantu urusan pelaburan itu.

Dalam serbuan itu. suspek wanita terbabit ditemui bersembunyi di bawah katil di dalam bilik rumah. 

Difahamkan siasatan dilakukan susulan laporan muka depan Harian Metro 13 September lalu, selain polis menerima berpuluh laporan daripada pelabur menjadi mangsa penipuan skim berkonsepkan pajakan hotel di Tanah Suci itu.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani yang mengesahkan tangkapan berkenaan berkata, 37 laporan polis diterima dan lapan kertas siasatan berhubung laporan kes berkenan dibuka membabitkan jumlah kerugian RM3.8 juta.

“Menerusi risikan dijalankan, skim itu menarik pelabur dengan jumlah yang lebih besar, namun majoriti pelabur enggan tampil membuat laporan polis kerana masih berharap mendapatkan semula wang pelaburan mereka.

“Malah sebahagiannya pula bimbang nama mereka dikeluarkan daripada senarai penerima pulangan wang pelaburan melalui sistem diwujudkan suspek sekiranya mereka membuat laporan polis,” katanya.

Acryl Sani berkata, usaha mengesan wang pelaburan yang dikumpul suspek hasil daripada penipuan berkenaan sedang dijalankan termasuk mengenai pasti akaun bank di luar negara.

“Siasatan juga mendapati suspek menutup semua akaun bank dalam negara termasuk laman web skim berkenaan. Tindakan itu berkemungkinan suspek dan keluarganya merancang untuk melarikan diri,"katanya.

Beliau berkata, turut dirampas dalam serbuan berkenaan enam kenderaan mewah model Land Cruizer, Starex, Volkwagen Polo, Triton 4x4, Toyota Vellfire dan Toyota Estima.

Acryl berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai tidak mudah terpengaruh dan berhati-hati dengan apa jua bentuk skim yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

Tulisan : Asmah Rusman & Hidayah Bahaudin

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment