Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

PETIKAN HARIAN METRO : Keuntungan Selaju Lebuh Raya



"Penduduk Kelantan kerugian RM240 juta termakan pujukan tiga pelaburan songsang"

Kota Bharu : Sekurang-kurangnya lebih RM240 juta kerugian ditanggung penduduk Kelantan selepas tertipu dengan tiga pelaburan songsang yang didakwa mampu memberi keuntugan berlipat kali ganda dalam masa singkat.

Sejak lapan tahun lalu, lebih 1,000 penduduk terpengaruh dengan pelaburan skim cepat kaya itu yang berselindung di sebalik perniagaan ikan keli, koperasi dan perniagaan ala pemasaran pelbagai peringkat (MLM).

Antara popular sejak 2009 ialah Highway Global Resources yang menjadi buruan polis, baru-baru ini susulan tangkapan ke atas pengasasnya, bulan lalu.

Syarikat lain yang dikenal pasti ialah Azz Marketing yang menjalankan bisnes ikan keli, skim Ustaz Harun Mat Saat (koperasi).

Pelabur terpengaruh disogok keuntungan berganda sehingga 300 peratus dalam tempoh singkat, malah modal permulaan juga ditawar pada nilai mampu beri.

Sebagai contoh Azz Marketing yang aktif pada 2009 menawarkan pakej Skim Raja Keli serendah RM1,350 dengan keuntungan RM500 dalam masa empat bulan.

Bagaimanapun, pengasasnya, lelaki berusia 30 tahun dikesan menipu dan didakwa di mahkamah pada 0ktober 2013 yang menyebabkan dia didenda sebanyak RM17,000.

Dia didakwa atas pertuduhan menyalahguna dana pemegang amanah berjumlah RM450,000.

Harun Mat Saat pula dikenali masyarakat tempatan sebagai 'lebai' yang juga peniaga dan bekas nelayan menganjurkan pelaburan menerusi syarikat Dina Group Sdn Bhd yang dikaitkan dengan skim cepat kaya.

Sejak 2008, dia didakwa terbabit dalam penyelewengan wang mencecah berjuta-juta ringgit dan menjadi buruan Bank Negara Malaysia.

Mengulas keghairahan penduduk negeri ini terbabit skim cepat kaya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud tidak menafikan kebijaksanaan ejen syarikat itu menggunakan ayat memujuk berjaya melembutkan hati pelabur.

Beliau berkata, skim terbaru yang popular sejak awal tahun ini adalah Highway Global Resources yang didakwa memberi keuntungan selaju lebuh raya.

Malangnya, ia juga seperti skim lain yang hanya bersifat sementara, sebelum dananya disalah guna pengasas untuk kepentingan diri sendiri.

"Kalau kaji modus operandi tiga pelaburan ini, mereka semua memberitahu pelabur mahu menubuhkan koperasi dan memerlukan modal RM1 juta untuk tujuan itu.

“Maka, modal awal dikutip daripada pelabur dan menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat terutama jika jumlah pelabur bertambah dan 'bisnes' berkembang.

“Memasuki beberapa bulan kemudian, penganjur sulit untuk menyerahkan dividen dan memberi alasan syarikat mereka sedang dinaik taraf, tetapi wang pelabur sebenarnya sudah dileburkan untuk kegunaan mereka sendiri.

“Seperti Azz Marketing, mereka ada perjanjian antara pelabur dengan pemilik syarikat dan mereka menukar perjanjian dari semasa ke semasa.

“Sebaliknya bagi dua pelaburan lain, ia diserahkan hanya atas kepercayaan sendiri tanpa surat hitam putih, " katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Beliau berkata, atas faktor itu juga pelabur hanya menyedari ditipu apabila memasuki bulan ketiga dan ke atas, namun semuanya sudah terlambat memandangkan wang dilabur sudah mencecah belasan ribu ringgit.

Mengulas pelaburan Highway Global Resources diasaskan bekas guru dikenali Cikgu Awi dari Tanah Merah yang mampu memberi keuntungan sehingga 300 peratus, beliau berkata, keuntungan begitu yang mendorong orang untuk melabur.

“Dia (Cikgu Awi) juga menggunakan gelaran Datuk Seri palsu yang didakwa diperoleh dari Perak untuk menguatkan lagi kedudukan supaya pelabur lebih menghormati dirinya.

“Apabila semakin ramai pelabur terdesak menuntut mereka, lelaki itu sekeluarga melarikan diri dan bersembunyi bagi mengelak dicekup," katanya.

Namun,sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga dan lelaki itu akhirnya ditahan polis bulan lalu hasil siasatan serta risikan Jabatan Siasatan Ienayah Komersial Bukit Aman.

Dia dan konco-konconya disiasat untuk lebih 41 laporan polis yang dibuat termasuk daripada 18 Pengurus Kumpulan.

Sumber : Harian Metro (4 Ogos 2016)
Tulisan : Siti Hidayatul Razali Dan Rosliza Mohamed

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment