Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

PETIKAN HARIAN METRO : 'Datuk Paduka' Penipu Besar


"Lima suspek tawar projek naik taraf jalan raya RM442 juta kait istana Terengganu melalui WhatsApp dicekup"

Kuala Terengganu : Seorang lelaki yang menggunakan gelaran 'Paduka Datuk' bagi menipu kontraktor dengan menawarkan projek naik taraf jalan raya di Kuala Terengganu bernilai RM442 juta dengan mengaitkan Istana Negeri Terengganu dicekup pihak berkuasa.

Sindiket penipuan didalangi suspek yang kononnya bergelar Datuk Paduka berusia 40-an itu bersama empat lagi lelaki berusia antara 30 hingga 60-an berakhir selepas ditahan dalam berberapa serbuan di sekitar bandar raya ini sejak 23 hingga 28 Julai lalu susulan laporan diterima polis pada 13 Julai lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Superintendan Koh Ah Tiam berkata, kegiatan itu terbongkar apabila mereka menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium menyebarkan tawaran projek bernilai RM442 juta pada awal bulan lalu.

“Sindiket berkenaan meminta bayaran komitmen daripada syarikat kontraktor yang berminat dengan berjumlah antara RM600,000 hingga RM1 juta dan siasatan mendapati projek berkenaan masih di peringkat cadangan oleh kerajaan negeri dan belum mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Malah, suspek utama yang bekerja sendiri menunjukkan kad yang kononnya diperoleh dari Istana Terengganu dan menyamar dengan membawa gelaran Datuk Paduka bagi mendapatkan kepercayaan syarikat kontraktor.

“Siasatan mendapati kumpulan ini mula bergerak sejak Jun lalu dengan menjadikan rumah masing-masing sebagai tempat operasi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, semalam.

Koh berkata, siasatan mendapati empat syarikat kontraktor termasuk sebuah syarikat di Kuala Lumpur hampir menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.

“Susulan penahanan lima suspek, polis merampas beberapa barangan antaranya dokumen, komputer riba dan telefon bimbit serta sekeping kad pengesahan yang kononnya membawa gelaran Datuk Paduka dari Istana Negeri Terengganu.

"Lima suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Sumber : Harian Metro (2 Ogos 2016)
Tulisan : Zatul Iffah Zolkiply

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment