Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

PETIKAN BERITA HARIAN : Sindiket Didalangi 'Datuk Paduka' Tumpas


"Kegiatan tawar projek tak wujud menerusi WhatsApp"

Kuala Terengganu : Hanya bermodalkan kad pengesahan Istana Terengganu dengan membawa gelaran 'Datuk Paduka', sekumpulan sindiket hampir sahaja mengaut keuntungan jutaan ringgit terhadap projek naik taraf jalan raya yang tidak wujud.

Bagaimanapun, kegiatan didalangi seorang lelaki berusia 40 tahun yang menyamar Datuk Paduka itu terbongkar apabila polis mengesan penyebaran tawaran projek terbabit melalui aplikasi WhatsApp.

Sindiket juga dikatakan hampir mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit melalui pembayaran komitmen apabila empat syarikat kontraktor berpangkalan di Kuala Lumpur dan bandar ini berminat terhadap projek berkenaan.

Modus operandi kumpulan itu dipercayai mengaut keuntungan mudah hanya dengan meminta pembayaran wang komitmen berkenaan sebanyak RM600,000 hingga RM1 juta daripada syarikat kontraktor yang berminat.

Lima suspek ditahan  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan Koh Ah Tiam, berkata siasatan awal terhadap maklumat WhatsApp berkenaan mendapati projek bernilai RM442 juta itu masih di peringkat cadangan oleh kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, lima suspek berusia 30-an hingga 60 tahun ditahan dalam beberapa siri serbuan di kediaman masing-masing di bandar ini sejak 23 hingga 28 Julai lalu.

“Sindiket ini juga dilumpuhkan sepenuhnya apabila polis turut menahan dalang utama dengan merampas pelbagai dokumen palsu, komputer, telefon bimbit dan kad kononnya diperoleh daripada lstana Terengganu yang membawa gelaran Datuk Paduka.

“Hasil tangkapan itu, polis juga berjaya menyelamatkan empat syarikat yang hampir membuat pembayaran melalui bank draf yang diminta suspek,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. 

Sumber : Berita Harian (2 Ogos 2016)
Tulisan : Fitri Nizam

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment