Berita Emas - 02 Oktober 2014
03
Oct
Harga emas kukuh semalam disokong oleh kejatuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan perangkaan pengilang global yang lemah membimbangkan pelabur.
Namun, jangkaan pengukuhan dolar AS menghadkan permintaan terhadap logam berharga itu.
Kontrak semasa emas meningkat 0.1 peratus kepada AS$1,214.16 seauns pada 1012 GMT, sementara pasaran hadapan emas AS jatuh AS$1.10 kepada AS$1,214.40 seauns.
Harga logam itu mencecah paras terendah dalam tempoh sembilan bulan pada paras AS$1,204.40 seauns pada Selasa.
"Permintaan bagi emas secara umum adalah rendah dan meskipun (peningkatan dolat berhenti) dan terdapat ruang sebelum harga jatuh melepasi paras AS$1,200, dalam tempoh jangka panjang saya tidak melihat sebarang petunjuk mencadangkan kemungkinan meningkat," kata penganalisis Natixis, Bernard Dahdah.
Dolar AS jatuh 0.3 peratus berbanding kumpulan mata wang utama kerana pelabur mengambil untung selepas rali baru-baru ini.
Pengukuhan emas disokong oleh saham Eropah yang rendah selepas kaji selidik menunjukkan aktiviti pengilangan Jerman menguncup buat kali pertama dalam tempoh 15 bulan, sektor pengilangan China berkembang sedikit dan pertumbuhan lebih perlahan daripada dijangkakan di AS.
Harga logam berharga lain pula menyaksikan harga perak jatuh 0.1 peratus kepada AS$17.12 seauns selepas mencecah paras terendahnya sejak Mac 2010 pada paras AS$17.07 seauns awal minggu ini.
Platinum jatuh 0.3 peratus kepada AS$1,270.25 seauns selepas jatuh ke paras terendah dalam tempoh lima tahun pada sesi sebelumnya dan palladium meningkat 0.4 peratus kepada AS$777 seauns.
Di pasaran niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif, kontrak Oktober 2014 jatuh lima mata kepada RM127.15 segram sementara November 2014 dan Disember 2014 merosot lapan mata kepada RM127.40 segram dan RM127.60 segram.
Kepentingan terbuka meningkat kepada 2,797 kontrak berbanding 2,795 kontrak kelmarin manakala jumlah dagangan jatuh kepada 86 lot bernilai RM1.09 juta berbanding 144 lot bernilai RM1.837 juta kelmarin.
Harga fizikal emas naik 13 sen kepada RM123.13 segram daripada RM1.34 segram.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment