Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 15 September 2014


Harga emas meningkat semalam ketika pasaran saham Asia menjunam.

Bagaimanapun, logam itu terus bergelut untuk menghampiri paras terendah dalam lapan bulan berikutan permintaan fizikal yang lemah dan kebimbangan Rizab Persekutuan (Fed) mungkin mengisyaratkan kenaikan kadar faedah lebih awal pada mesyuarat dasarnya minggu ini.

Mesyuarat Fed itu penting kerana ia membahaskan potensinya merangka semula garis panduan bagi kadar faedah dan dilihat akan melaksanakan pelan untuk menghentikan dasar monetari mudahnya yang luar biasa sejak beberapa tahun lalu.

Pelabur akan memerhatikan dengan penuh minat setiap perkataan yang dikeluarkan oleh Bank Pusat AS itu untuk mendapatkan sebarang petunjuk mengenai tempoh masa kenaikan kadar faedah pertama republik berkenaan dalam tempoh lapan tahun.

Pengumuman dijangka dibuat pada Rabu iaitu selepas berakhir mesyuarat selama dua hari.

Sebarang kenaikan kadar faedah akan menjejaskan harga emas yang tidak menanggung faedah, sebaliknya merangsang nilai dolar AS.

"Mesyuarat Fed minggu ini akan menentukan tindakan harga bagi logam berharga," kata peniaga logam MKS Group, Samuel Laughlin.

"Pendapat umum pasaran ialah kadar faedah akan dinaikkan pada Jun 2015.

"Bagaimanapun, sebarang kenyataan Fed yang memberi bayangan kenaikan lebih awal daripada itu akan memberi tekanan penurunan kepada logam."

Spot emas jatuh kepada AS$1,225.30 seauns, paras terendahnya sejak Januari, awal pagi semalam sebelum meningkat 0.4 peratus untuk mengimbangi kepada AS$1,232.75 pada 0627 GMT.

Minggu lalu, emas jatuh tiga peratus apabila indeks dolar mencatatkan kenaikan mingguan sembilan minggu berturut-turut.

Peniaga berkata, kenaikan kecil itu mungkin disebabkan oleh bidaan untuk instrumen pelaburan selamat selepas saham Asia jatuh ke paras terendah dalam lima minggu susulan sekumpulan data lemah dari China.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment