Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Pengguna FB Ditipu RM700 Juta


Oleh Muhammad Mustakim Ramli
bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur - Sekumpulan pengguna Facebook (FB) mendakwa diperdaya lebih 60 sindiket pelaburan hingga menyebabkan kerugian mencecah RM700 juta, sejak dua tahun lalu.

Kerugian itu didakwa membabitkan kira-kira 100,000 pengguna Facebook seluruh negara yang berjaya dikumpulkan beberapa individu yang menjadi mangsa penipuan melalui laman sosial itu sejak Julai lalu.

Jurucakap kumpulan itu, Raja Mohd Kamaruzuan Raja Daud, 29, berkata sindiket kebiasaannya menghantar mesej peribadi kepada mangsa dengan menawarkan pelbagai pelan pulangan modal dari tujuh hingga 20 hari dengan keuntungan tiga kali ganda daripada modal asal.

"Sindiket meyakinkan orang ramai dengan mempamerkan cek bernilai jutaan ringgit yang diterima individu lain yang menggunakan pelan yang ditawarkan mereka.

"Bagi membuktikan orang ramai bahawa mereka tidak menipu, sindiket turut mengemukakan salinan MyKad, lesen perniagaan serta akaun bank," katanya ketika ditemui bersama 50 mangsa penipuan pelaburan di sini, semalam.

Buat Laporan Polis
Raja Mohd Kamaruzuan berkata, pendedahan itu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati apabila menerima pelawaan daripada individu tidak dikenali di laman sosial.

"Kita sudah membuat laporan polis dan mengharapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman memantau sindiket penipuan di laman sosial," katanya yang mengalami kerugian hampir RM20,000.

Difahamkan sindiket turut mempergunakan beberapa pihak lain terutama remaja yang berfungsi sebagai 'keldai' sindiket bagi memperdayakan mangsa menerusi laman sosial berkenaan.

Mangsa, kazwana Kassim, 42, dari Kota Bharu berkata, dia mengalami kerugian RM13,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan yang menjanjikan keuntungan 100 peratus.

Katanya, pada mulanya dia tidak mengesyaki ditipu berikutan pada minggu pertama dia mendapat keuntungan seperti yang dijanjikan.

"Sindiket kemudian menawarkan kepada saya komisyen lima peratus bagi setiap orang yang berjaya saya tarik menyertai pelaburan mereka. Selepas saya mendapatkan 10 orang, sindiket mula mendiamkan diri.

"Selepas berulang kali menghubungi, dia berjanji akan membayar semula modal yang dikeluarkan dengan syarat, saya perlu mengeluarkan modal RM3,000 bagi mendapatkan keuntungan membayar semula modal," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment