Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

TERKINI : OPR Meningkat 25 Mata Asas


Oleh Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bh.com.my

Kadar faedah pinjaman dijangka meningkat susulan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) iaitu penanda aras bagi penentuan kadar asas pinjaman (BLR) bank tempatan sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus, semalam.

bank pusat berkata, berdasarkan kenaikan itu, kadar terendah dan kadar tertinggi koridor OPR masing-masing dinaikkan kepada 3 peratus dan 3.5 peratus.

Katanya, kenaikan pertama kali sejak Mei 2011 itu, menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang positif dengan eksport dan aktiviti swasta terus kukuh.

Permintaan serantau
Menurutnya, momentum pertumbuhan secara keseluruhan dijangka berterusan dengan eksport terus mendapat manfaat daripada pemulihan dalam ekonomi maju dan permintaan serantau selain, aktiviti pelaburan dijangka kekal teguh, didorong oleh sektor swasta.

"Penggunaan swasta akan disokong oleh pertumbuhan pendapatan stabil dan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan. Oleh itu, prospek ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh pada landasan pertumbuhan stabil," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM, di Kuala Lumpur, semalam.

BNM menjelaskan, langkah menaikkan OPR itu sejajar keputusan MPC untuk menyelaraskan tahap sokongan monetari dalam keadaan prospek pertumbuhan kukuh dan inflasi kekal melebihi kadar purata jangka panjangnya.

Katanya, kadar OPR baharu itu menunjukkan penderian dasar monetari untuk terus menyokong ekonomi negara.

"Kajian lanjut tahap sokongan monetari akan bergantung kepada penilain MPC mengenai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi. Pada masa sama, MPC, juga akan terus memantau risiko ketidakseimbangan kewangan," katanya.

Sejak tiga tahun lalu, rakyat negara ini menikmati BLR pada kadar 6.60 peratus.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata keputusan BNM adalah tepat memandangkan ekonomi Malaysia sedang mendapat limpahan, kesan daripada pengukuhan ekonomi luaran.

Kadar pertumbuhan sihat
Katanya, OPR perlu diselaraskan supaya bersesuaian dengan kadar pertumbuhan yang sihat serta mampu mengekang kadar inflasi supaya sentiasa berada dalam keadaan stabil.

"Kami tidak menjangka OPR akan dinaikkan lagi  pada tahun ini kerana pelaksanaan program rasionalisasi subsidi mungkin sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadap momentum pertumbuhan, terutama perbelanjaan swasta," katanya.

Pakar Ekonomi Asia Capital Economics, Krystal Tan, berkata pihaknya menjangkakan akan ada lagi peningkatan OPR menjelang akhir tahun ini kerana dasar monetari lebih ketat diperlukan untuk membendung pertambahan dalam ketidakseimbangan kewangan.

Katanya, kadar faedah rendah menjana peningkatan pesat dalam tahap hutang isi rumah, selain menjadi penyumbang kepada kenaikan besar dalam harga rumah.

"Kami menjangkakan kadar akan meningkat 25 mata asas lagi sebelum akhir tahun ini atau mungkin kekal pada 3.25 peratus," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment