Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Krisis Kewangan Beri Peringatan Kepada Negara


Pengalaman daripada krisis kewangan yang berlaku secara berturutan memberi peringatan kepada negara agar tidak terlalu bergantung kepada dasar monetari, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata, dasar monetari tidak boleh menangani isu struktur termasuk kekakukan dan daya saing ekonomi, malahan dasar monetari paling akomodatif tidak boleh menjadi pengganti bagi pembaharuan struktur yang diperlukan.

"Bukan sahaja terdapat had apa yang boleh dipenuhi oleh dasar monetari tetapi terlalu bergantung kepadanya juga boleh membawa kepada akibat yang tidak diingini," katanya pada Syarahan Per Jacobsson Foundation 2014 di Basel, Switzerland.

Beliau berkata, tempoh persekitaran kadar faedah rendah yang berpanjangan mungkin membawa kepada peningkatan ketidakseimbangan kewangan.

"Justeru itu, penyesuaian monetari perlu diperkukuhkan dengan kesungguhan usaha penyusunan semula hutang bagi sektor isi rumah dan perniagaan untuk meningkatkan potensi aktiviti perbelanjaan dan pelaburan," katanya.

Beliau berkata, dasar penawaran dalam semua sektor ekonomi termasuk dalam pasaran buruh, juga penting kepada proses pemulihan.

Zeti berkata, dalam persekitaran perbelanjaan sektor swasta yang lemah, langkah fiskal memainkan peranan penting menyokong ekonomi domestik, walaupun pada tahap krisis ini, ruang dasar mungkin menjadi terhad.

Beliau berkata, terdapat pelbagai langkah yang tidak membabitkan kos yang ketara.

Langkah itu, katanya terdiri daripada penyediaan insentif kepada syarikat untuk mengekalkan pekerjaan dan mengurangkan pembuangan kerja kepada insentif fiskal untuk menggalakkan penyusunan semula hutang bagi korporat berdaya mahu, perusahaan kecil dan sederhana dan sektor isi rumah untuk menyokong pemulihan perbelanjaan domestik.

Selain itu, katanya dasar kewangan yang termasuk skim pembiayaan, kemudahan jaminan kredit dan dana khas yang dibentuk untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan amat berjaya dalam menyokong proses pertumbuhan.

Beri kesan tidak seimbang
Zeti berkata, semasa peringkat pemulihan sokongan, impak pengagihan semula krisis kewangan yang memberi kesan tidak seimbang kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan perlu dikurangkan.

"Mengikut Bank Dunia, krisis kewangan boleh menyebabkan pendapatan isi rumah golongan miskin jatuh 10 kali lebih daripada purata isi rumah," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa program yang mencapai kejayaan besar sedang dilaksanakan di beberapa negara di dunia ini yang boleh dikumpulkan sebagai empat bahagian penting.

Zeti berkata, dasar dan pembaharuan susulan daripada krisis kewangan yang berturutan telah memberi sumbangan besar ke arah mengukuhkan daya tahan sistem kewangan dan ekonomi di seluruh dunia.

Pada masa depan, beliau berkata krisis kewangan akan menjadi satu kemungkinan yang akan terus berlaku.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment