Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 04 November 2014


Emas terus mencatatkan penurunan menghampiri paras terendah empat tahun semalam apabila logam berharga itu tidak mendapat kelebihan daripada pengukuhan nilai dolar dan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, kekurangan belian fizikal yang kukuh dan petunjuk teknikal yang lemah menyerlahkan jangkaan terhadap penurunan selanjutnya.

Logam berharga itu mencecah paras di bawah tahap teknikal utama, iaitu kira-kira AS$1,180 seauns pada Jumaat lalu selepas Bank of Japan secara mengejut memperluaskan program rangsangan, membantu mengukuhkan dolar.

Suasana ini mendorong aktiviti jualan lebih lanjut yang menyebabkan harga emas terus menurun sehingga ke paras AS$1,161.25, iaitu terendah sejak Julai 2010.

"Walaupun logam itu ditutup di bawah tahap ini (AS$1,182), risiko teknikal meningkat terhadap langkah penjualan lebih banyak dan menyebabkan harga turun sehingga AS$1,155," kata penganalisis Scotia-Mocatta dalam satu nota.

"Hanya penutupan kembali di atas paras AS$1,200 akan mengubah pandangan kami dari kurang yakin kepada neutral."

Spot emas mengukuh pada harga AS$1,165 seauns pada 0717 GMT.

Logam itu naik setinggi AS$1,173.70 kelmarin tetapi gagal untuk mengekalkan keuntungan walaupun data AS adalah kukuh.

Perak mencatatkan sedikit pertumbuhan berbanding paras terendah empat tahun AS$15.72 yang dicatat kelmarin, meskipun ia terus kekal di bawah tekanan bersama-sama dengan platinum dan palladium.

Di pasaran fizikal, walaupun harga emas jatuh menghampiri ke paras terendah empat tahun, pembeli di seluruh Asia tidak menunjukkan semangat terhadap harga yang lebih murah, sebaliknya memilih untuk menunggu di luar pasaran.

Apabila harga emas berada dalam kemerosotan, pembeli China khususnya, mengintai harga murah dan secara tradisinya bergerak memasuki pasaran dan menghentikan kejatuhan itu. Namun, situasi itu tidak berlaku kali ini.

Sementara itu, pasaran hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup tinggi semalam dengan kontrak November 2014 meningkat sembilan mata kepada RM125.60 segram, Disember 2014 naik tujuh mata kepada RM126 segram.

kepentingan terbuka jatuh kepada 1,824 kontrak berbanding 2,232 kontrak kelmarin sementara jumlah dagangan jatuh kepada 124 lot bernilai RM1.56 juta berbanding 387 lot bernilai RM4.84 juta kelmarin.

Pada jam 5 petang, harga fizikal emas meningkat 18 sen kepada RM120.74 segram daripada RM120.56 segram kelmarin.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment