Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

BISNES : Kecairan Kewangan Negara Mencukupi


Kecairan dalam sistem kewangan negara ketika ini masih cukup dan boleh diuruskan menerusi operasi pasaran terbuka.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata pasaran wang tempatan masih mampu menyerap, jika wujud sebarang lebihan kecairan.

Sehubungan itu, katanya, pelarasan keperluan Rizab Berkanun (SRR) hanya akan dilaksanakan, jika terdapat perubahan asas dalam  kecairan sistem kewangan negara.

"Ketika ini kami menguruskan kecairan menerusi operasi pasaran terbuka bagi memastikan kecairan mencukupi dan emmastikan kita tidak mempunyai lebihan kecairan yang akan mewujudkan lebihan pertumbuhan kredit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran pameran terkini Muzium dan Galeri Seni Bank Negara bertajuk 'Kenali Nusantara : Wang Yang Membentuk Rantau Ini' di Kuala Lumpur, semalam.

Opsyen SRR
Zeti berkata demikian bagi mengulas sama ada Bank Negara akan menggunakan opsyen SRR bagi menstabilkan sistem kewangan negara disamping penyelarasan kadar faedah.

SRR adalah instrumen dasar monetari yang dimiliki BNM untuk tujuan pengurusan kecairan. Ia adalah simpanan wajib yang perlu disimpan oleh bank di dalam bank pusat. Salah satu fungsi rizab berkanun ialah dapat mengatasi masalah inflasi.

Mengulas prestasi ekonomi negara, Zeti berkata, ekonomi Malaysia berada kekal pada landasan pertumbuhan kukuh, meskipun masih wujud ketidaktentuan dalam pasaran global ketika ini.

Katanya, BNM menjangkakan ketidaktentuan di pasaran global akan berterusan kerana ketika ini adalah tempoh perubahan selepas krisis kewangan global yang mana wujudnya pelarasan ke arah menstabilkan dasar.

Beliau berkata, sistem kewangan negara ini bergerak ke arah kematangan kukuh yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi serta aktiviti perdagangan, meskipun berdepan keadaan tidak menentu sistem kewangan global.

"Malaysia mempunyai keupayaan kukuh untuk mengharungi ketidaktentuan global dan ia terbukti aktiviti ekonomi tidak terjejas meskipun berdepan beberapa krisis kewangan global sebelum ini," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment