Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Ringgit Cecah Paras Tertinggi


Oleh Mahanum Abd Aziz
mahanum_aziz@bh.com.my

Jangkaan mengenai kenaikan kadar faedah buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun mendorong ringgit untuk terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan mencecah kira-kira RM3.1848 semalam, paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh juga menyokong mata wang tempatan itu kembali mencecah paras tertinggi yang mana kali terakhir dicatatkan pada 20 November 2013.

Penganalisis dan ahli ekonomi berkata pengukuhan kemajuan dalam pertumbuhan eksport juga mendorong ringgit untuk terus mengukuh berbanding dolar AS.

Faktor pengukuhan ringgit
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata faktor utama mendorong pengukuhan ringgit adalah jangkaan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta pengukuhan ekonomi seperti yang dapat dilihat dalam angka eksport negara yang terbaharu serta program transformasi ekonomi yang berterusan.

Beliau berkata, beberapa penganalisis ekonomi termasuk Bank Islam mengunjurkan Bank Negara Malaysia akan menaikkan OPR sebanyak 25 asas mata kepada 3.25 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Kewangan yang akan diadakan pada Khamis minggu depan.

"Pengukuhan ringgit ini mungkin akan berterusan sehingga jangkaan terhadap peningkatan terhadap OPR tercapai. Namun, situasi kadar faedah di AS juga perlu diambil kira kerana perangkaan seperti kadar pengangguran serta kadar inflasi di negara itu menunjukkan tanda pemulihan ekonomi yang kosisten.

Tingkat kadar faedah lebih awal
"justeru, pihak Rizab Persekutuan AS berkemungkinan cenderung untuk meningkatkan kadar faedah mereka lebih awal daripada jangkaan," katanya kepada BH semalam.

Afzanizam berkata, jika Rizab Persekutuan AS meningkatkan kadar faedah lebih awal daripada yng dijangkakan, langkah itu akan memberi kesan langsung terhadap nilai ringgit yang mana pelabur asing akan memindahkan dana mereka ke negara maju berikutan jangkaan peningkatan kadar faedah.

Selain AS, beliau berkata, negara maju seperti United Kingdom (UK) juga dijangkakan untuk menaikkan kadar faedah tahun ini.

Afzanizam berkata, pihaknya mengunjurkan ringgit akan bergerak pada jajaran RM3.25 hingga RM3.30 berbanding dolar AS pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata, unjuran itu berasaskan kepada jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah di negara maju yang akan menyebabkan perpindahan dana daripada rantau Asia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment