Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

PETIKAN HARIAN METRO : Pura-pura Kejar Perompak



"Helah penyamun melarikan diri selepas kebas tiga dulang barang kemas"

Putrajaya : Seorang perompak sempat berpura-pura kononnya sedang mengejar suspek yang merompak sebuah kedai emas di Presint Diplomatik, di sini, sebelum melarikan diri dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dinaiki dua lagi rakannya, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.05 petang itu, seorang pemilik kedai emas kerugian RM30,000 selepas disamun tiga lelaki berusia 20-an yang bersenjatakan tukul besi serta penyembur lada.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, ketika kejadian tiada pelanggan dalam premis kecuali seorang lelaki yang juga pemilik kedai emas berkenaan dan dua pekerja wanita.

“Tiba-tiba muncul tiga lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh meluru masuk lalu memecahkan cermin pameran manakala seorang daripadanya menyemburkan penyembur lada sementara seorang lagi mengutip tiga dulang berisi barang kemas.

“Mereka melarikan diri melalui pintu belakang restoran selang sebuah kedai dari premis berkenaan," katanya, semalam.

Rosly berkata, seorang daripada suspek dikejar pekerja restoran dan tiga lagi orang awam sebelum cuba melarikan diri dengan motosikal Yamaha 125Z yang diletakkan di belakang restoran itu. 

Namun, katanya, suspek berpura-pura sebagai orang awam yang turut mengejar perompak berkenaan menyebabkan pekerja restoran terbabit tidak menangkap lelaki terbabit.

“Bagaimanapun, suspek berlari ke arah kereta Toyota Alphard putih yang dinaik rakannya sebelum meninggalkan lokasi kejadian.

"Seorang daripadanya dipercayai cedera berikutan kesan darah di sekitar premis. Kami meminta klinik atau hospital yang didatangi lelaki cedera akibat terkena kaca memaklumkan kepada polis," katanya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan beberapa individu melihat kereta itu diparkir di hadapan premis berkenaan kelmarin.

Sumber : Harian Metro (15 Ogos 2016)
Tulisan : Hayati Ibrahim

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment