Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 11 Ogos 2014


Harga emas susut sedikit semalam daripada paras tertinggi dalam tiga minggu apabila ketegangan antara Ukraine dan Russia sedikit reda dan pelabur beralih semula kepada saham Eropah dan sesetengahnya mengeluarkan pelaburan dari dana tukaran emas.

Lewat Jumaat lalu, kementerian Pertahanan Russia berkata, ia menarik semula tenteranya di selatan Russia, yang sebelum ini dikritik Amerika Syarikat (AS) sebagai langkah provokasi dalam krisis Ukraine.

Spot emas turun 0.1 peratus kepada AS$1,308.59 seauns pada 0947 GMT, selepas mencecah paras tertinggi tiga minggu pada AS$1,322.60 Jumaat lalu.

Kontrak hadapan emas AS bagi penghantaran Disember susut AS$1.40 kepada AS$1,309.50.

"Saya tidak menjangkakan emas akan berada di atas AS$1,350 kerana tiada minat atau insentif sebenar bagi dana atau pelabur ETF untuk kembali semula," kata penganalisis Credit Suisse, Tom Kendall.

Mata wang AS yang lebih kukuh menjadikan aset dalam dolar seperti emas menjadi lebih mahal bagi pemegang mata wang lain, manakala pulangan daripada bon AS diperhatikan dengan penuh minat oleh pasaran emas memandangkan logam itu tidak membayar faedah.

Kerugian dalam harga emas adalah terkawal disebabkan konflik di negara lain seperti Iraq dan Israel.

Walaupun sentimen minggu lalu memihak kepada emas dan aset lain yang dianggap kurang berisiko, spekulator merendahkan pertaruhan mereka ke atas opsyen dan niaga hadapan bagi minggu berakhir 5 Ogos, demikian menurut data Commodity Futures Trading Commision.

Pegangan dalam SPDR Gold Trust, dana tukaran emas terbesar dunia jatuh 1.79 tan kepada 795.86 tan pada Jumaat.

Belian fizikal dari pengguna terbesar China dan India juga suram, manakala data ekonomi AS yang kukuh mencetuskan kebimbangan berlakunya perubahan dalam dasar monetari.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment