Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

KPDNKK Siasat Firma Skim Cepat Kaya Dikendalikan Remaja


Kuala Lumpur : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang menyiasat syarikat yang dikendalikan seorang remaja 19 tahun, selepas dipercayai mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil kegiatan skim cepat kaya.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata siasatan yang tertumpu di Selangor itu dilakukan berikutan aduan pembabitan skim cepat kaya berbentuk piramid dan KPDNKK tidak teragak-agak membatalkan lesen dan menyenarai hitam nama pemilik jika ia didapati melanggar syarat lesen.

Lesen Jualan Langsung
"Syarikat ini ada lesen jualan langsung untuk produk berasaskan kulit. Contoh sistem piramid ialah anda bayar sejumlah wang dan nama anda akan diletakkan dalam senarai. Setiap kali ahli baharu menyertai skim ini, ahli lama akan dibayar secara rawak daripada senarai berkenaan.

"Lebih banyak anda bayar, lebih cerah peluang anda untuk dibayar ketika ahli baharu masuk," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

BH sebelum ini melaporkan seorang remaja berusia 19 tahun memperdayakan 300 mangsa untuk mengaut keuntungan jutaan ringgit sebulan menerusi skim cepat kaya yang dianjurkannya.

Skim cepat kaya itu disyaki didalangi beberapa pihak lain dan remaja itu berfungsi sebagai keldai sindiket bagi memperdayakan mangsa menerusi Facebook (FB).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Mohd Naim Daruwish, berkata pihaknya boleh membatalkan syarikat yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang seperti menawarkan skim cepat kaya menerusi FB.

Katanya, tindakan itu boleh dikenakan mengikut Seksyen 218 Akta Syarikat dengan permohonan mahkamah jika ada bukti kukuh syarikat itu menjalankan aktiviti terbabit.

Selain itu, katanya pengarah syarikat juga boleh didakwa mengikut Seksyen 132 Akta Syarikat kerana melanggar undang-undang yang bukan untuk kepentingan syarikat.

"Syarikat itu boleh disenarai hitam secara pentadbiran, termasuk pengarah syarikat bagi perniagaan tunggal atau perkongsian tertakluk kepada bukti kukuh seperti mengambil deposit secara salah.

"Tindakan itu diambil selepas dirujuk dengan agensi berkaitan seperti Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan KPDNKK yang menyiasat kegiatan penipuan dan pengubahan wang haram," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment