Berita Emas - 09 April 2014
Emas berada stabil semalam menjelang penerbitan minit mesyuarat dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) sambil kebimbangan berhubung ketegangan di Ukraine mengimbangi nilai dolar lebih kukuh dan aliran keluar baharu daripada dana sokongan logam berharga.
Kebimbangan berhubung pertikaian antara Russia dan Ukraine serta momentum teknikal setelah melepasi AS$1,300 membantu meningkatkan emas ke harga tertingginya dalm tempoh dua minggu pada Selasa.
Namun, kedudukan tidak menentu berhubung dasar monetari AS serta kurangnya selera pelabur dan fizikal telah menyekat rali itu.
Spot emas berada pada AS$1,309.19 seauns semalam, meningkat 0.1 peratus namun berada di bawah paras tinggi sebelumnya pada AS$1,314 seauns.
Sementara itu, niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Jun meningkat 70 sen seauns pada AS$1,309.80.
"Geopolitik dan penurunan dolar memberikan emas insentif yang diperlukannya untuk melepasi paras lebih tinggi, namun setakat ini ia berlaku tanpa sebarang penekanan yang kukuh," kata Ketrua Penyelidik Saxo Bank, Ole Hansen.
"Mereka yang memegang pandangan bulis bagaimanapun terpaksa bergantung kepada situasi geopolitik supaya terus meningkat yang membolehkannya kembali berada di atas paras rintangan, yang pada pendapat saya berada pada AS$1,321."
Russia semalam mengenepikan kebimbangan 'tidak berasas' di Kiev dan Barat berhubung kehadiran tenteranya berhampiran sempadan Ukraine, dengan berkata mereka tidak memberikan sebarang ancaman sambil menuduh Washington mencetuskan ketegangan di wilayah itu.
Saham Eropah meningkat hampir separuh peratus selepas beberapa hari yang sukar apabila ketegangan bertambah di Ukraine dan Bank Pusat Eropah (ECB) melumpuhkan harapan satu program pembelian aset besar-besaran baharu.
Indeks dolar meninggalkan paras terendah tiga minggu untuk meningkat 0.1 peratus, dengan pemulihan berbanding yen Jepun selepas merekodkan penurunan terbesar dalam tempoh tujuh bulan.
"Kami tidak melihat lebih banyak kenaikan bagi emas di sini melainkan dolar jatuh lebih teruk atau ketegangan di Ukraine meningkat sekali lagi," kata VTB Capital dalam satu nota. - REUTERS
Berita Emas - 05 November 2012
Emas gagal mencatat tinggi semalam, sejajar dengan pengumuman data pekerjaan AS yang kukuh daripada jangkaan, yang mana harga logam itu berada pada paras rendah dua bulan berbanding sesi sebelumnya, tetapi dolar yang lebih kukuh mengekang kenaikan harga.
Majikan AS meningkatkan pengambilan pekerja pada Oktober dan peningkatan kadar pengangguran adalah disebabkan lebih ramai pekerja memulakan kembali aktiviti mencari kerja, menambah kepada bukti pemulihan ekonomi.
Langkah rangsangan kewangan lanjut tidak perlu jika ekonomi mampu bertahan sendiri, yang tidak baik untuk emas. Bulan lalu logam itu menghampiri AS$1,800 seauns ketika langkah rangsangan diambil oleh bank pusat.
Tindakan mencetak wang berleluasa oleh bank pusat meningkatkan tarikan emas kerana pelabur bimbang mengenai penurunan mata wang dan inflasi akibat pelonggaran kewangan.
"Dalam jangka pendek, emas mungkin berlegar dalam paras rendah Jumaat, tetapi tidak banyak ruang untuk penurunan harga kerana pelaksanaan rangsangan kewangan adalah trend semasa global," kata Li Ning, penganalisis Shanghai CIFCO Futures.
Harga spot emas naik 0.1 peratus kepada AS$1,678.44 seauns menjelang 0727 GMT, pulih daripada paras rendah dua bulan, AS$1,673.94 pada Jumaat. Emas AS naik 0.2 peratus kepada AS$1,679.
Penganalisis teknikal mencadangkan bahawa spot emas mungkin bergerak di atas AS$1,678 ketika semalam sebelum memecahkan paras dan jatuh terus kepada AS$1,666, menurut penganalisis pasaran Reuters, Wong Tao.
Dolar lebih kukuh menjejaskan kenaikan harga emas. Mata wang itu naik kepada paras tertinggi dalam dua bulan berbanding sekumpulan mata wang lain kerana pelabur beralih kepada aset lindung nilai sebelum pilihan raya Presiden AS esok.
Emas dijangka tidak banyak berubah kerana pelabur juga memerhatikan perhimpunan penting Parti Komunis China yang dijangka menampilkan generasi baru serta mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) lewat minggu ini.
Pembeli emas fizikal kembali ke pasaran pada Jumaat ketika penjualan dan aktiviti membeli menurun semalam.
Berita Emas - 10 September 2012
Harga emas berada pada paras tertinggi dalam enam setengah bulan semalam, diransang oleh jangkaan Rezab Persekutuan akan mengambil langkah kelonggaran sewajarnya selepas data terbaru memberi gambaran suram pasaran pekerjaan Amerika Syarikat (AS).
Data pada Jumaat menunjukkan pertumbuhan perlahan yang ketara pasaran pekerjaan AS bulan lalu, menyemarakkan harapan supaya Rizab Persekutuan akan mengumumkan satu lagi pusingan kelonggaran kuantitatif, juga dikenali sebagai QE3, pada mesyuarat dasar minggu ini.
Kelonggaran dasar monetari mendahului jangkaan kenaikan inflasi serta menarik pelabur kepada logam berharga itu, yang dilihat sebagai pelindung baik kenaikan harga.
"Kemungkinan untuk QE3 sudah pasti bertambah, namun risikonya juga meningkat seperti kita mengeluarkan kad terakhir dalam suatu permainan poker," kata seorang peniaga di Shanghai.
"Jika QE3 diumumkan, emas dijangka akan melepasi AS$1,800. Namun sebelum itu kita akan menyaksikan pengapungan harganya."
Spot emas ditutup turun 0.1 peratus kepada AS$1,734.14 seauns, selepas meningkat kepada AS$1,741.30 pada sesi terdahulu, paras tertingginya sejak 29 Febuari lalu.
Emas AS kehilangan 0.2 peratus kepada AS$1,736.80, menjejaskan sedikit kenaikan tiga peratusnya minggu lalu.
Analisis teknikal menunjukkan gambaran bulis untuk spot emas, memberi bayangan harganya mungkin meningkat kepada AS$1,786 pada hari itu, kata penganalisis pasaran Reuters, Wang Tao.
Beberapa bulan lepas dagangan membosankan, pasaran logam berharga kembali segar bulan lalu selepas bank pusat seluruh dunia, khususnya Rizab Persekutuan dan Bank Pusat Eropah (ECB), memberi isyarat mereka akan melancarkan lebih banyak pakej rangsangan untuk membantu kesuraman ekonomi.
Spot emas melonjak tujuh peratus sejak tiga minggu lalu, manakala perak tunai meningkat 20 peratus dalam tempoh sama.
Berita Emas - 06 September 2012
Harga emas melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan semalam, menjelang mesyuarat Bank Pusat Eropah (ECB) yang berkemungkinan akan menggariskan rancangan terbarunya untuk menangani krisis hutang serta menarik pelaburan baru di pasaran anggota.
ECB akan mengadakan mesyuarat dasarnya yang mana ia dijangka akan mengekalkan penanda aras kadar faedah zon euro tidak berubah pada 0.75 peratus.
Namun, Presiden ECB, Mario Draghi dilihat berdepan tekanan untuk menyegerakan rancangan membeli bon berdaulat kerajaan negara Kesatuan Eropah (EU) yang terdedah dengan krisis hutang bagi menangani peningkatan kos pinjaman negara terbabit.
Emas, yang mendapat faedah daripada persekitaran kadar faedah yang rendah dan sokongan kepada mata wang euro untuk meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kelihatan boleh naik dan mencecah paras tertinggi baru jika hasil mesyuarat ECB memperincikan rancangnnya dalam menyelamatkan mata wang tunggal EU itu.
Harga rujukan emas meningkat 1.0 peratus kepada AS$1,709.54 seauns menjelang 0850 GMT, iaitu paras tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Mac lalu.
Harga emas dalam mata wang euro meningkat ke paras tertinggi baru tahun ini iaitu sekitar 1,354.50 euro untuk seauns, paras tertinggi sejak 12 September tahun lalu yang mana harga mencecah rekod 1,373.92 euro seauns.
Harga emas yang didagangkan dalam mata wang euro itu kali terakhir meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 1,354.00 euro, manakala mata wang Eropah tunggal itu pula didagangkan hampir ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan berbanding dolar AS.
"Wujud sedikit khabar angin yang melonjakkan aktiviti belian di pasaran semalam, dan jika berlakunya sebarang pembetulan mengenai harga sama ada ia berdasarkan fakta atau tidak, kita perlu tunggu dan lihat.
"Apa yang jelas adalah jika harga meningkat dan melepasi paras AS$1,700 seauns ia berikutan peningkatan kemasukan momentum wang tambahan yang dilaburkan dalam komoditi berharga itu. - REUTERS
Berita Emas - 05 September 2012
Harga emas turun semalam, sejajar dengan penurunan euro tetapi masih hampir pada paras tinggi enam bulan yang direkodkan pada sesi sebelumnya ketika sekumpulan data lemah Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mengukuhkan harapan rangsangan ekonomi.
Data menunjukkan , zon Eropah kemungkinan besar kembali meleset pada suku semasa, dengan sektor swasta blok itu mengucup untuk tuhuj bulan berturut-turut dan kesan sampingan krisis yang kian merebak sehingga ke Jerman.
Indeks komposit Ogos PMI, yang mengukur sektor pengilangan dan perkhidmatan serentak, jatuh kepada 46.3, diunjurkan semula daripada bacaan singkat sebanyak 46.6 dan di bawah 46.5 pada Julai lalu.
Selasa lalu, data menunjukkan bahawa aktiviti pengilangan mengucup paling tinggi dalam lebih tiga tahun pada bulan lalu, merangsang harapan bahawa Rizab Persekutuan mungkin akan bertindak dalam masa terdekat bagi menyokong ekonomi yang tenat itu.
Harga emas jatuh 0.2 peratus kepada AS$1,690.71 seauns pada 0947 GMT. Emas AS turun 0.14 peratus kepada AS$1,693.60.
Bank Pusat Eropah (ECB) juga semakin tertekan sebelum mesyuarat penetapan polisi hari ini, untuk menggariskan mengurangkan kos pinjaman di Sepanyol dan Itali.
"Pasaran kini yakin sesuatu akan dilakukan oleh Persekutuan, tetapi ia tidak menjangkakan rangsangan besar-besaran. Rangsangan yang akan digariskan ECB akan mempunyai kesan lebih besar kerana ia mengawal kos pinjaman Sepanyol dan Itali daripada tumbuh tinggi," kata pakar strategi kanan komoditi di Societe Generale, Jesper Dannesboe.
Ketika dalam mesyuarat akhir, ECB menyatakan bahawa ia sedang menimbangkan pembelian bon kerajaan bagi negara yang dibebani hutang tinggi, sambil menambah pada Isnin lalu pembelian bon sehingga tahap matang tiga tahun tidak ditakrifkan sebagai bantuan itu.
Bagaimana, pelabur terutama dana kerajaan menyatakan langkah ECB mungkin tidak menepati apa yang ditunggu-tunggu pasaran. Kebimbangan itu lebih kepada euro berbanding dolar, menjadikan emas berharga lebih mahal kepada pelabur Eropah. - REUTERS
Berita Emas - 04 September 2012
Emas berada di paras kukuh di tahap tertinggi dalam tempoh enam bulan semalam, dilonjakkan prospek suntikan pencairan lanjutan daripada Rizab Persekutuan AS yang akan menetapkan dolar di bawah tekanan.
Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke, dalam ucapannya minggu lalu mencadangkan bank pusat akan menggunakanlebih langkah polisi luar biasa untuk mengekalkan kadar faedah ke taraf terendah yang kini melonjakkan aset yang sangat bergantung kepada pertumbuhan seperti komoditi dan saham.
Pelabur mengekalkan pegangan emas yang lebih besar hasil dana diraih daripada dagangan bursa selepas aliran masuk besar-besaran ke dalam logam itu pada Ogos lalu.
Ura-ura Bank Pusat Eropah yang dilihat akan mengumumkan pelannya menyelesaikan krisis hutang di zaon euro itu bakal melonjakkan wata wang itu ke tahap tertinggi tahun ini.
Analisis berkata skop kekecewaan daripada bank pusat itu atau rizab persekutuan mungkin akan mengurangkan peningkatan dalam emas ketika ini.
Harga emas meningkat 0.1 peratus kepada AS$1,693.30 seauns pada 0805 GMT.
"Bagi rali yang lebih mapan ia perlu melepasi AS$1,700, kamu mungkin memerlukan langkah yang lebih pasti daripada bank pusat ECB dan usaha merendahkan dolar," kata analisis VTB Capital, Andrey Kryuchenkov. - REUTERS
Berita Emas - 15 Ogos 2012
Harga emas meningkat semalam, selepas jatuh ke paras terendah dalam satu setengah minggu pada sesi terdahulu berikutan data memberangsangkan jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan harapan berlaku langkah rangsangan seterusnya daripada Rizab Persekutuan.
Namun, tinjauan ekonomi zon euro yang suram menambah tekanan kepada Bank Pusat Eropah (ECB) untuk bertindak segera menghalang ekonomi daripada terus tergelincir, sekali gus memberi keselesaan kepada harga logam itu.
Jualan runcit AS pada bulan lalu buat kali pertama dalam tempoh empat bulan kembali meningkat, daripada jualan kereta hingga barangan elektronik.
Pemulihan dalam perbelanjaan pengguna yang menjadi tas ekonomi negara itu, boleh memacu pertumbuhan ekonominya dengan lebih pantas pada suku ketiga.
Ia mencetuskan keraguan mengenai keperluan satu lagi pusingan pembelian bon Rizab Persekutuan, dikenali sebagai QE3.
"Berita baik bagi ekonomi adalah berita buruk kepada emas", kata Ketua Dagangan Komoditi Standard Bank Jepun, Yuichi Ikemizu.
Beliau menambah, kurangnya penjelasan ke atas hala tuju monetari akan mengekalkan kehilangan minat terhadap dagangan emas.
"Emas tidak dijangka keluar daripada lingkungan semasanya sehingga akhir bulan ini mahupun September."
Pelabur sedang menunggu simposium Rizab Persekutuan akhir bulan ini, selain mesyuarat bank pusat itu pertengahan bulan depan bagi petunjuk penderian bank pusat itu terhadap QE3.
Spot emas meningkat 0.2% kepada AS$1,601.19 seauns semalam, selepas jatuh serendah AS$1,594.10 pada Selasa, paras terendahnya sejak 3 Ogos. Kontrak hadapan emas bagi penghantaran Disember menokok 0.1% kepada AS$1,604.10.
Analisis teknikal memerikan bayangan bahawa spot emas boleh jatuh sehingga AS$1,584.49 seauns semalam, kata penganalisis pasaran Reuters, Wang Tao.
Ekonomi zaon euro menguncup pada separuh kedua, meskipun berlaku prestasi lebih baik daripada jangkaan dalam ekonomi Jerman dan Perancis.
Ia mencetuskan desakan pengambilan tindakan oleh pembuat dasar.
Pelabur masih menunggu samaada ECB akan meneruskan program pembelian bonnya, selepas pemimpin bank pusat itu, Mario Draghi bulan lalu berikrar untuk melakukan apa yang terdaya untuk mengekalkan zon euro.
Gangguan bekalan operasi Afrika Selatan pengeluar platinum ketiga terbesar dunia. Lonmim membantu harga platinum menambah kenaikannya kepada hari kedua.
Logam itu meningkat kepada AS$1,400.74. - REUTERS
Berita Emas - 13 Ogos 2012
Harga emas susut Jumaat lalu, susulan penurunan pasaran saham Asia yang berehat daripada rali baru-baru ini namun masih berada pada landasan untuk kenaikan mingguan kali kedua dalam tempoh tiga minggu apabila diperkukuh harapan China akan mengambil langkah merangsang pertumbuhannya.
Emas susut 0.24 peratus kepada AS$1,613.26 seauns Jumaat lalu, selepas meningkat sedikit pada Khamis bersandar harapan untuk langkah rangsangan China selepas data menunjukkan aktiviti perkilangan perlahan tanpa diduga.
Keadan tidak menentu mengenai sama ada Rizab Persekutuan dan Bank Pusat Eropah (ECB) juga akan mengambil langkah merangsang ekonomi masing-masing telah menjejaskan pergerakan kukuh harga emas dan logam berharga itu kekal di bawah rekod tertinggi September tahun lalu di sekitar AS$1,920 seauns.
"Kami sebelum ini menyedari kebimbangan bahawa harga emas kelihatannya enggan berganjak daripada zon selesa AS$20 yang tertumpu kepada AS$1,610 dan risikonya ialah menguji semula paras lebih rendah," kata Ahli Strategi Komoditi Kanan ANZ Singapura, Nick Trevethan.
Saham Asia menghentikan rali empat harinya Jumaat lalu dan menambah kerugiannya selepas data perdagangan China tidak menepati jangkaan.
Bagaimanapun, data kurang memberangsangkan China itu menyalakan semula harapan supaya Beijing akan melakukan usaha lebih keras untuk merangsangkan pertumbuhannya.
Pengarah Lee Cheong Gold Dealers Hong Kong, Ronald Leung, berkata pelabur mengharapkan China untuk mengurangkan keperluan rizab bank dan menyuntik lebih banyak wang kec dalam pasaran.
Mereka juga mengharapkan satu lagi pusingan kelonggaran kuantitatif (QE) oleh Rizab Persekutuan jika data Amerika Syarikat (AS) lemah.
Pasaran menyandarkan harapan supaya ECB akan mula membeli bon kedaulatan untuk menurunkan kos pinjaman Sepanyol dan Rizab Persekutuan akan melanjutkan kelonggaran monetarinya, disebalik bayangan daripada pihak berkuasa bahawa tiada sebarang langkah akan diambil sebelum September.
"Pasaran kelihatannya agak bercampur-campur," kata Leung.
"Dalam bahagian fizikal, terdapat pelabur yang membeli sejumlah kecil emas namun dalam bahagian lain, sesetengahnya hanya mengambil untung." - REUTERS
Berita Emas - 08 Ogos 2012
Emas ditutup hampir tidak berubah semalam selepas meningkat selama tiga hari, disokong harapan bahawa Eropah dan Amerika Syarikat (AS) akan melancarkan lebih banyak langkah rangsangan untuk mengukuhkan ekonominya yang semakin suram.
Pelabur mempertaruhkan bahawa krisis hutang di zon euro akan menekan Bank Pusat Eropah (ECB) untuk melancarkan pusingan baru belian bon tidak lama lagi, sekali gus mengukuhkan daya tarikan emas sebagai pelindung inflasi.
Dalam petunjuk terkini masalah di Eropah, agensi penarafan Standard & Poor's menyemak semula tinjauan Greece kepada negatif, dengan berkata negara dibelenggu hutang itu akanmemerlukan lebih banyak bantuan daripada penyedia kredit antarabangsa.
Di AS, Presiden Rizab Persekutuan Boston, Eric Rosengren, berkata bank pusat itu sepatutnya melancarkan satu lagi program belian bon dalam apa juga saiz atau tempoh untuk meletakkan ekonominya berada pada tempat sepatutnya.
"Emas masih lagi kelihatan memberangsangkan pada separuh kedua, dengan musim belian fizikal puncak berada dalam landasan dan lebih banyak lagi kelonggaran kuantitatif daripada Rizab Persekutuan masih dalam rancangan", kata penganalisis di Shanghai CIFCO Futures, Li Ning.
Beliau menambah, tinjauan teknikal bagi logam berharga juga kelihatannya memberi sokongan apabila paras rendah dalam carta mingguan telah meningkat secara berperingkat sejak Julai lalu.
Spot emas hampir tidak berubah pada AS$1,609.91 seauns semalam, selepas meningkat lebih daripada satu peratus dalam tiga suku sebelumnya.
Logam itu diniagakan dalam lingkungan kira-kira AS$3 setakat ini pada hari itu.
Kontrak hadapan emas AS bagi penghantaran Disember juga diniagakan hampir tidak berubah pada AS$1,612.60.
Analisis teknikal jangka pendek pula memberi bayangan bahawa spot emas boleh susut kepada AS$1,591 seauns pada hari itu, kata penganalisis pasaran Reuters, Wang Tao.









