Berita Emas - 05 November 2012
Emas gagal mencatat tinggi semalam, sejajar dengan pengumuman data pekerjaan AS yang kukuh daripada jangkaan, yang mana harga logam itu berada pada paras rendah dua bulan berbanding sesi sebelumnya, tetapi dolar yang lebih kukuh mengekang kenaikan harga.
Majikan AS meningkatkan pengambilan pekerja pada Oktober dan peningkatan kadar pengangguran adalah disebabkan lebih ramai pekerja memulakan kembali aktiviti mencari kerja, menambah kepada bukti pemulihan ekonomi.
Langkah rangsangan kewangan lanjut tidak perlu jika ekonomi mampu bertahan sendiri, yang tidak baik untuk emas. Bulan lalu logam itu menghampiri AS$1,800 seauns ketika langkah rangsangan diambil oleh bank pusat.
Tindakan mencetak wang berleluasa oleh bank pusat meningkatkan tarikan emas kerana pelabur bimbang mengenai penurunan mata wang dan inflasi akibat pelonggaran kewangan.
"Dalam jangka pendek, emas mungkin berlegar dalam paras rendah Jumaat, tetapi tidak banyak ruang untuk penurunan harga kerana pelaksanaan rangsangan kewangan adalah trend semasa global," kata Li Ning, penganalisis Shanghai CIFCO Futures.
Harga spot emas naik 0.1 peratus kepada AS$1,678.44 seauns menjelang 0727 GMT, pulih daripada paras rendah dua bulan, AS$1,673.94 pada Jumaat. Emas AS naik 0.2 peratus kepada AS$1,679.
Penganalisis teknikal mencadangkan bahawa spot emas mungkin bergerak di atas AS$1,678 ketika semalam sebelum memecahkan paras dan jatuh terus kepada AS$1,666, menurut penganalisis pasaran Reuters, Wong Tao.
Dolar lebih kukuh menjejaskan kenaikan harga emas. Mata wang itu naik kepada paras tertinggi dalam dua bulan berbanding sekumpulan mata wang lain kerana pelabur beralih kepada aset lindung nilai sebelum pilihan raya Presiden AS esok.
Emas dijangka tidak banyak berubah kerana pelabur juga memerhatikan perhimpunan penting Parti Komunis China yang dijangka menampilkan generasi baru serta mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) lewat minggu ini.
Pembeli emas fizikal kembali ke pasaran pada Jumaat ketika penjualan dan aktiviti membeli menurun semalam.
Berita Emas - 27 Ogos 2012
Harga emas naik ke paras tertinggi sejak pertengahan April pada Isnin, meneruskan kenaikan kukuh sejak minggu lalu ketika jangkaan rangsangan kewangan dalam masa terdekat oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).
Persekutuan mempunyai ruang untuk melaksanakan rangsangan kewangan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, kata ketua Bank Pusat, Ben Bernanke, merangsang jangkaan perlaksanaan polisi kewangan, yang bakal menarik pelabur kepada emas, sebagai pelindung inflasi ekoran tindakan mencetak duit tunai.
"Terdapat jangkaan kukuh terhadap tindakan Persekutuan, dan prestasi harga minggu lalu akan terus menyokong harga," kata Li Ning , penganalisis di Shanghai CIFCO Futures, merujuk kepada harga yang melepasi paras AS$100 di atas AS$1,532 yang direkod sejak Mei.
Pelabur akan memerhatikan simposium bank pusat yang dijadualkan berlangsung di Jackson Hole, Wyoming, lewat minggu ini untuk petanda tindakan seterusnya oleh bank pusat bagi mengekang krisis hutang zon eropah dan merangsang pertumbuhan global.
Emas spot naik kepasa AS$1,676.45 seauns, tertinggi dalam lebih empat bulan, sebelum berhenti pada AS$1,674.40 seauns pada 0620 GMT, selepas merekodkan kenaikan 3.4 peratus pada minggu lalu.
Emas AS naik 0.3 peratus kepada AS$1,677.00.
Analisis teknikal mencadangkan bahawa spot emas akan naik kepada AS$1,693 seauns pada hari ini , menurut penganalisis pasaran Reuters, Wong Tao.
Bank Pusat Eropah (ECB) sedang mengambil kira menyediakan ikatan sasaran hasil di bawah program pembelian bon terbaru bagi mengekalkan strateginya terlindung daripada tindakan spekulator yang cuba mengambil keuntungan.
Dipetik Daripada Berita Harian
Berita Emas - 08 Ogos 2012
Emas ditutup hampir tidak berubah semalam selepas meningkat selama tiga hari, disokong harapan bahawa Eropah dan Amerika Syarikat (AS) akan melancarkan lebih banyak langkah rangsangan untuk mengukuhkan ekonominya yang semakin suram.
Pelabur mempertaruhkan bahawa krisis hutang di zon euro akan menekan Bank Pusat Eropah (ECB) untuk melancarkan pusingan baru belian bon tidak lama lagi, sekali gus mengukuhkan daya tarikan emas sebagai pelindung inflasi.
Dalam petunjuk terkini masalah di Eropah, agensi penarafan Standard & Poor's menyemak semula tinjauan Greece kepada negatif, dengan berkata negara dibelenggu hutang itu akanmemerlukan lebih banyak bantuan daripada penyedia kredit antarabangsa.
Di AS, Presiden Rizab Persekutuan Boston, Eric Rosengren, berkata bank pusat itu sepatutnya melancarkan satu lagi program belian bon dalam apa juga saiz atau tempoh untuk meletakkan ekonominya berada pada tempat sepatutnya.
"Emas masih lagi kelihatan memberangsangkan pada separuh kedua, dengan musim belian fizikal puncak berada dalam landasan dan lebih banyak lagi kelonggaran kuantitatif daripada Rizab Persekutuan masih dalam rancangan", kata penganalisis di Shanghai CIFCO Futures, Li Ning.
Beliau menambah, tinjauan teknikal bagi logam berharga juga kelihatannya memberi sokongan apabila paras rendah dalam carta mingguan telah meningkat secara berperingkat sejak Julai lalu.
Spot emas hampir tidak berubah pada AS$1,609.91 seauns semalam, selepas meningkat lebih daripada satu peratus dalam tiga suku sebelumnya.
Logam itu diniagakan dalam lingkungan kira-kira AS$3 setakat ini pada hari itu.
Kontrak hadapan emas AS bagi penghantaran Disember juga diniagakan hampir tidak berubah pada AS$1,612.60.
Analisis teknikal jangka pendek pula memberi bayangan bahawa spot emas boleh susut kepada AS$1,591 seauns pada hari itu, kata penganalisis pasaran Reuters, Wang Tao.








