Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 27 Mac 2014


Harga emas berada stabil di atas AS$1,300 semalam dengan daya tarikan selamat logam itu diperkukuhkan oleh harga saham lebih lemah.

Bagaimanapun, kenaikan dihadkan oleh aliran keluar daripada dana emas but dua hari kedua.

Spot emas mendatar pada AS$1,302.96 seauns semalam. Pasaran Asia kurang memberangsangkan semalam berikutan penutupan lemah di Wall Street serta ketegangan di Ukraine.

Emas jatuh ke paras terendah enam minggu AS$1,298.29 pada sesi terdahulu, diniagakan di bawah paras AS$1,300 seketika sebelum kembali meningkat. 

"Tinjauan teknikal bagi emas agak mendatar dan tanpa mengambil kira perubahan mendadak dalam asasnya, keadaan itu berkemungkinan mengatasi sentimen lebih optimis daripada bahagian dana," kata Penganalisis Pelaburan Phillip Futures Sdn Bhd di Singapura, Joyce Liu.

Liu berkata, carta 15 minit mendedahkan potensi harga emas untuk bergerak di bawah AS$1,300 seauns tidak lama lagi.

Pegangan dalam SPDR Gold Trust, dana dagangan bursa sokongan emas terbesar dunia jatuh 1.8 tan kepada 816.97 tan pada Rabu selepas kehilangan 2.7 tan pada sesi sebelumnya.

Logam berharga itu berada di bawah tekanan baru-baru ini, selepas mencecah paras tertinggi enam bulan AS$1,391.76 awal bulan ini.

Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Janet Yellen, minggu lalu memberi bayangan kadar faedah akan meningkat pada separuh pertama 2015, menambah kos peluang untuk memegang logam berharga dan mencetus pemesongan harga yang besar.

Permintaan fizikal daripada pengguna utama Asia juga adalah lemah.

Antara logam berharga lain, platinum meningkat 0.6 peratus berikutan kebimbangan berhubung sekatan bekalan.

Perantara kerajaan Afrika Selatan bertemu dengan Persatuan Pekerja Lombong dan Kesatuan Pembina pada Rabu untuk memulakan semula rundingan mengakhiri mogok platinum yang kini memasuki minggu ke-10.

Paladium juga disokong oleh ketegangan geopolitik di Russia yang juga pengeluar terbesar logam itu di dunia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Emas - 26 Mac 2014


Harga emas bangkit semalam daripada tahap paling lemah sejak pertengahan Febuari, tetapi tanda pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan ketiadaan sokongan daripada sektor fizikal boleh mengehadkan keuntungan dan mengekalkan harga dalam julat yang ketat.

Dalam petunjuk permintaan fizikal yang perlahan, premium untuk bar emas di Asia sedikit berubah antara 25 sen hingg AS$1 seauns berbanding harga London minggu ini, sebahagiannya disebabkan oleh kebimbangan bahawa yuan yang lemah boleh menjejaskan permintaan daripada pengguna utama, China.

Emas meningkat 0.34 peratus kepada AS$1,314.85 seauns pada 0727 GMT semalam. Ia jatuh kepada AS$1,305.59 seauns kelmarin, terendah sejak 14 Febuari, sebelum pulih.

"Ada beberapa kegiatan meraih untung, tetapi masih ada bekalan yang mencukupi dan premium tidak naik.

"Saya berpendapat (emas) masih dalam gelombang dagangan," kata Pengarah Urusan GoldSilver Central Pte Ltd di Singapura, Brian Lan.

Emas jatuh dari tahap tertinggi enam bulan iaitu AS$1,391.76 yang dicatatkan awal minggu lalu selepas Ketua Rizab Persekutuan (Fed) AS, Janet Yellen, mengatakan kadar faedah boleh meningkat lebih cepat daripada yang dijangka, menjejaskan logam yang disifatkan sebagai lindung nilai terhadap inflasi itu.

Keyakinan pengguna AS melonjak ke paras tertinggi dalam enam tahun pada Mac lalu dan harga rumah meningkat kukuh pada Januari, meletakkan ekonomi untuk pertumbuhan yang lebih kukuh selepas mengalami kelembapan.

Namun, kejatuhan harga emas gagal mencetuskan tindakan tergesa-gesa dalam pembelian fizikal dengan peniaga di Hong Kong mengadu mengenai kelembapan dalam permintaan terhadap barang kemas dan pelabur runcit dari tanah besar China.

Emas AS yang sering mempengaruhi emas spot berada pada AS$1,315.30 seauns, naik AS$3.90.

Saham Asia meningkat ke paras tertinggi dua minggu semalam, dengan keyakinan pelabur mendapat rangsangan yang amat diperlukan daripada data AS yang memberangsangkan dan pengurangan kebimbangan terhadap krisis Ukraine / Crimea.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Emas - 28 Febuari 2014


Emas mencatat perubahan kecil semalam tetapi di landasan kukuh untuk mencatat kenaikan terbesar bulanan sejak Julai lalu selepas pelabur dan spekulator menolak harga lebih tinggi disebabkan kebimbangan berhubung perkembangan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan Ukraine.

Kenaikan baru-baru ini mungkin sukar untuk kekal kerana ketiadaan pembelian fizikal yang kukuh. Selain itu, jangkaan Rizab Persekutuan akan terus mengurangkan rangsangan ekonomi berkemungkinan mengurangkan tarikan emas sebagai pelaburan lindung nilai berbanding inflasi.

Tunai emas hampir mendatar pada AS$1,330.86 seauns pada 0714 GMT, jatuh daripada paras tertinggi empat bulan AS$1,345.35 pada Rabu. Emas menokok tujuh peratus pada Febuari, kenaikan bulanan tertinggi sejak kenaikan 7.2 peratus yang dicatatkan pada Julai.

"Pasaran fizikal di Hong Kong masih perlahan dan saya tidak lihat sebarang minat belian baru," kata Peter Fung di Wing Fung Precious Metals Hong Kong.

"Sentimen di pasaran neutral. Halangan pada AS$1,1350, sementara AS$1,300 adalah paras sokongan," katanya.

Sementara itu, kontrak hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif mencatat kerugian buat hari kedua berturut-turut ekoran minat belian yang lemah, namun mencatat keuntungan bulanan.

Ia disebabkan permintaan daripada pelabur dan spekulator yang meningkatkan harga berikutan kebimbangan mengenai tahap ekonomi AS dan pergolakan di Ukraine, kata peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Elky Liam Kian Yap.

"Keuntungan sukar bertahan berikutan ketiadaan belian fizikal yang kukuh selain unjuran bahawa Rizab Persekutuan AS akan meneruskan program pengurangan kuantitatif yang akan menjejaskan minat ke atas emas sebagai pelindung daripada inflasi," katanya.

Pada penutup, Febuari 2014 turun lapan sen atau 16 mata kepada RM139.90 segram manakala Mac 2014, April 2014 dan Mei 2014 masing-masing susut tujuh sen atau 14 mata kepada RM140.35, RM140.65 dan RM140.65 segram.

Jumlah dagangan meningkat kepada 294 lot bernilai RM4.14 juta berbanding 241 lot bernilai RM3.41 juta kelmarin manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 294 kontrak berbanding 242 kontrak sebelumnya.

Emas fizikal ditutup sembilan mata lebih rendah kepada RM135.18 segram.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Emas - 27 Febuari 2014


Harga emas jatuh sedikit semalam berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Kontrak bulanan semasa emas jatuh 0.1 peratus kepada AS$1,329.41 seauns, rendah sedikit daripada paras tertinggi dicatatkannya dalam tempoh empat bulan pada paras AS$1,345.35 seauns.

"Dengan permintaan fizikal yang kurang, prestasi logam berharga adalah berdasarkan sentimen dolar AS dan pelaburan.

"Pergerakan bertentangan dengan dolar AS sangat tinggi tahun ini,"  kata penganalisis VTB Capital, Andrey Kryuchenkov.

Harga emas meningkat lebih 10 peratus setakat ini berikutan ketidaktentuan pemulihan ekonomi AS, kebimbangan mengenai pertumbuhan China dan peningkatan semula minat belian dalam dana dagangan berkaitan logam berharga itu.

Pasaran hadapan emas AS bagi penghantaran April naik AS$2.20 seauns kepada AS$1,330.10.

Di pasaran fizikal, premium jongkong emas di Singapura jatuh ke paras serendah 80 sen kepada harga kontrak semasa London daripada paras tertinggi AS$1.50 yang dicatatkan pada minggu lalu.

"Kami memetik premium pada paras 80 sen hingga AS$1 sekarang kerana pasaran dibanjiri dengan bekalan, memandangkan permintaan yang rendah," kata peniaga yang berpangkalan di Singapura.

Harga perak naik 0.6 peratus kepada AS$21.33 seauns, pulih semula selepas mencatatkan kejatuhan 2.8 peratus kelmarin, iaitu kadar kejatuhan terbesar dalam bulan ini.

"Harga perak sukar untuk memecah paras AS$22, mungkin akan mengecewakan pelabur," kata UBS dalam nota penyelidikannya.

Kontrak bulan semasa platinum jatuh 0.2 peratus kepada AS$1,423.25 seauns sementara kontrak semasa palladium naik 0.1 peratus kepada AS$729.50 seauns.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Emas - 26 Febuari 2014


Harga emas meningkat kepada paras tertingginya dalam tempoh empat bulan semalam berikutan kebimbangan pelabur terhadap pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) kerana perangkaan ekonomi terbaru negara itu yang lemah.

Emas meningkat 0.22 peratus pada AS$1,343.10 seauns setakat 0700 GMT selepas mencecah AS$1,345.35 seauns, iaitu paras tertingginya sejak akhir Oktober.

Niaga emas hadapan AS bagi penghantaran April susut 0.2 peratus kepada AS$1,339.40 seauns, yang sebelum ini mencecah paras tertinggi empat bulan AS$1,345.60.

"Pada masa ini pasaran bertindak terhadap perangkaan lemah China dan AS dengan jangkaan sekiranya ekonomi menjadi perlahan akan ada pengurangan rangsangan oleh Rizab Persekutuan," kata Pengurus Kanan Saxo Bank, Ole Hansen.

Harga logam berharga itu kekal di bawah paras tertinggi sekitar AS$1,920 meskipun mencatatkan peningkatan baru-baru ini.

"Ramai orang menjangkakan kadar faedah AS akan meningkat dan harga emas menurun tetapi sejak permulaan tahun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Harga emas melepasi paras pergerakan purata 200 hari kira-kira seminggu lalu dan ia membuatkan pelabur rasa selesa dengan emas. Saya fikir paras selanjutnya adalah AS$1,350," kata pengurus cawangan Standard Bank di Tokyo, Yuichi Ikemizu.

Emas AS kekal pada AS$1,343.20 seauns.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Emas - 25 Febuari 2014


Harga emas susut semalam, berada di bawah paras paling kukuh dalam tempoh empat bulan kerana pelabur menunggu data yang dijadual dikeluarkan pada lewat sesi semalam sebagai petunjuk terhadap kadar pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Rentetan data lemah dari AS dan China menimbulkan kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan global, menarik pelabur kembali kepada emas yang sudah meningkat lebih 10 peratus tahun ini, selepas mencatatkan penurunan 28 peratus pada 2013 yang menamatkan tempoh 12 tahun ia mencatat keuntungan.

Spot emas turun 0.3 peratus kepada AS$1,332.51 seauns, selepas meningkat lebih satu peratus ke paras tertinggi sejak 31 Oktober iaitu AS1,338.60 pada Isnin.

Niaga hadapan emas AS untuk penghantaran April adalah sebanyak AS$1,333 seauns, turun AS$5. Ia melonjak ke paras tinggi empat bulan iaitu AS$1,339.20 seauns pada sesi sebelumnya.

"Pemacu untuk emas tidak banyak berubah, data AS terus berada di kedudukan yang lemah, dolar telah sedikit berada di bawah tekanan sekali lagi."

"Malah, kenaikan itu tidak mungkin tidak akan kehabisan tenaga buat masa ini selagi data ini dan dolar kekal lemah tetapi pada masa sama kita masih yakin bahawa keadaan ekonomi akan pulih dan emas akan menerima tekanan lagi," kata penganalisis ABN Amro, Georgette Boele.

Dolar turun 0.1 peratus berbanding sekumpulan mata wang utama menjelang data yang menunjukkan indeks harga rumah AS pada Disember dan keyakinan pengguna untuk Febuari.

Pelabur juga akan melihat ke hadapan pada Khamis, apabila Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Janet Yellen, bercakap kepada Jawatankuasa Perbankan Senat dalam keterangan setengah tahunan mengenai dasar monetari.

Komen pertama Yellen sejak menggantikan Ben Bernanke sebagai ketua Fed sudah sebahagian besarnya menyokong kadar pengurangan rangsangan, menunjukkan kelemahan dalam ekonomi baru-baru ini adalah semata-mata bersifat sementara.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS