Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 27 Mac 2014


Harga emas berada stabil di atas AS$1,300 semalam dengan daya tarikan selamat logam itu diperkukuhkan oleh harga saham lebih lemah.

Bagaimanapun, kenaikan dihadkan oleh aliran keluar daripada dana emas but dua hari kedua.

Spot emas mendatar pada AS$1,302.96 seauns semalam. Pasaran Asia kurang memberangsangkan semalam berikutan penutupan lemah di Wall Street serta ketegangan di Ukraine.

Emas jatuh ke paras terendah enam minggu AS$1,298.29 pada sesi terdahulu, diniagakan di bawah paras AS$1,300 seketika sebelum kembali meningkat. 

"Tinjauan teknikal bagi emas agak mendatar dan tanpa mengambil kira perubahan mendadak dalam asasnya, keadaan itu berkemungkinan mengatasi sentimen lebih optimis daripada bahagian dana," kata Penganalisis Pelaburan Phillip Futures Sdn Bhd di Singapura, Joyce Liu.

Liu berkata, carta 15 minit mendedahkan potensi harga emas untuk bergerak di bawah AS$1,300 seauns tidak lama lagi.

Pegangan dalam SPDR Gold Trust, dana dagangan bursa sokongan emas terbesar dunia jatuh 1.8 tan kepada 816.97 tan pada Rabu selepas kehilangan 2.7 tan pada sesi sebelumnya.

Logam berharga itu berada di bawah tekanan baru-baru ini, selepas mencecah paras tertinggi enam bulan AS$1,391.76 awal bulan ini.

Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Janet Yellen, minggu lalu memberi bayangan kadar faedah akan meningkat pada separuh pertama 2015, menambah kos peluang untuk memegang logam berharga dan mencetus pemesongan harga yang besar.

Permintaan fizikal daripada pengguna utama Asia juga adalah lemah.

Antara logam berharga lain, platinum meningkat 0.6 peratus berikutan kebimbangan berhubung sekatan bekalan.

Perantara kerajaan Afrika Selatan bertemu dengan Persatuan Pekerja Lombong dan Kesatuan Pembina pada Rabu untuk memulakan semula rundingan mengakhiri mogok platinum yang kini memasuki minggu ke-10.

Paladium juga disokong oleh ketegangan geopolitik di Russia yang juga pengeluar terbesar logam itu di dunia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment