Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 07 Oktober 2013


Emas meningkat dalam dagangan Asia ketika penutupan sebahagian kerajaan AS selama seminggu meningkatkan kebimbangan Kongres menghadapi kesukaran untuk menaikkan had siling hutang pada masanya, merangsang tarikan emas sebagai aset pelindung nilai.

Kegagalan untuk menaikkan had pinjaman AS menjelang 17 Oktober akan menyebabkan ekonomi terbesar dunia itu gagal membayar hutang. Kongres sudah pun berbelah bahagi mengenai rang belanjawan, menyebabkan penutupan sebahagian agensi kerajaan yang mana ia menjejaskan ekonomi serta menanguhkan laporan beberapa data penting.

Ketika perdebatan terakhir mengenai had siling hutang AS pada 2011, emas mencecah paras tertinggi sepanjang masa sebanyak AS$1,920 seauns, persetujuan dicapai Kongres hanya pada saat-saat akhir.

"Ia adalah saat penting yang akan mempengaruhi pasaran," kata Brian Lan, Pengarah Urusan GoldSilver Central Pte Ltd di Singapura. "Jika kita gagal melihat kemajuan sehingga 17 Oktober depan, saya merasakan emas akan naik sehingga AS$1,400." Data ekonomi atau sebarang berita mengenai had siling hutang akan menentukan arah harga emas dan perak. Sementara itu, ia dalam jajaran terhad," kata Lan.

Drama AS itu menjatuhkan dolar pada Isnin, mengekalkannya tidak berganjak hampir terendah dalam lapan bulan berbanding sekumpulan mata wang lain. Dolar lebih lemah menjadikannya mudah bagi pemegang mata wang lain membeli emas dan komoditi lain yang diniagakan dengan mata wang itu.

Spot emas naik 0.3 peratus kepada AS$1,314.60 seauns menjelang 0627 GMT, yang juga menaikkan harga perak dan paladium.

Platinum menambahkan kenaikan pada Isnin selepas kenaikan 1.3 peratus pada Jumaat, ekoran pemberontakan di lombong dan ancaman sekatan bekalan.

Emas baru-baru ini kerugian tarikan lindung nilainya selepas ketegangan geopolitik di Syria menurun, selain penutupan sebahagian agensi kerajaan AS tidak mencetuskan cubaan belian lindung nilai, kemungkinan gagal membayar hutang menjadi pencetus, kata peniaga. "Sentimen kekal ragu-ragu terhadap emas, yang dicerminkan dalam kedudukan pasaran," kata Braclays dalam satu nota.

"Sementara penutupan sementara kerajaan AS tidak membantu mendorong harga, risiko had siling hutang kemungkinan mencetuskan minat belian bersandarkan tindak balas harga emas pada 2011." - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Emas - 06 Oktober 2013


Harga emas dijangka mengalami kejatuhan terbesar dalam tempoh tiga minggu. Namun, kejatuhan itu terhad di tengah-tengah penutupan operasi Kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara itu.

Situasi semasa itu, sekali gus membantu menyelamatkan keadaan harga komiditi utama dunia itu.

Pada minggu lalu, harga emas mengalami penurunan 1.2 peratus yang mana sebahagian besarnya adalah akibat daripada arahan penjualan besar-besaran Comex pada Selasa lalu.

Ia menyebabkan harga emas jatuh di bawah paras AS$1,300 seauns, sebelum mulai pulih selepas kerajaan AS gagal mencapai kesepakatan dalam bajetnya di Washington.

Jumaat lalu, harga emas meningkat 0.2 peratus kepada AS$1,319.30 seauns pada 0620 GMT.

"Saya melihat (jangkaan berlakunya penurunan harga emas) sebagai sangat sensitif sekarang kerana tiada sokongan daripada peniaga China (ekoran cuti umum)," kata peniaga logam berharga itu di Hong Kong, sambil menambah bahawa sebarang berita terbaru berhubung keputusan Rizab Persekutuan AS boleh menjejaskan sentimen pasaran emas. 

Peniaga emas kini memantau data AS, khususnya mengenai tahap tenaga buruh dan pasaran perumahan negara itu dengan lebih dekat bagi menilai kekuatan ekonomi AS.

Ini kerana sebarang perkembangan terbaru daripada perangkaan berkenaan akan menjadi antara inti pati untuk Fed mula mengurangkan program rangsangannya ke atas ekonomi AS.

Pelaksanaan program rangsangan Fed itu, sejak ia mula diperkenalkan telah menjadi satu rangsangan mesra kepada harga emas.

Pegawai Fed minggu lalu berkata, kekurangan data berkenaan membuatkan bank pusat itu sukar untuk memantau tahap prestasi ekonomi AS, dan Fed mungkin perlu memastikan dasar monetari semasa itu berlarutan dalam tempoh lebih lama bagi mengimbangi bahaya yang bakal muncul sekiranya Parti Demokrat dan Republikan gagal mencapai kesepakatan berhubung had siling hutang kerajaan negara itu.

Penutupan operasi kerajaan  AS mungkin berlarutan untuk tempoh seminggu lagi atau mungkin lebih lama dan terdapat kebimbangan yang semakin meningkat dalam pasaran kewangan sekiranya kedua-dua parti itu gagal mencapai kesepakatan menjelang tarikh akhir untuk menaikkan siling hutang kerajaannya. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Petikan Daripada Berita Harian : Tukang emas perlu susun semula strategi


Tukang emas di negara ini mungkin perlu menyusun semula strategi untuk menarik dan mengekalkan pembelian produk mereka dengan pelancaran pasaran niaga hadapan emas pertama di Malaysia.

"Pasaran berkenaan menyediakan platform alternatif kepada pembeli untuk membeli emas sebagai pelaburan," kata Timbalan Presiden Persatuan Tukang Emas dan Permata Malaysia, Ermin Siow (gambar).

Beliau berkata, tukang emas mungkin perlu menilai kesan ke atas permintaan barang kemas dan mengadakan strategi baru jika urus niaga hadapan emas mempengaruhi perniagaan mereka.

"Kita mungkin boleh melihat beberapa kesan dari segi permintaan dan jualan tetapi semua bergantung kepada penyertaan peruncit di pasaran niaga hadapan. Bagi pihak kami, kami mungkin perlu menetapkan semula strategi perniagaan kami sedikit untuk perubahan ini," katanya mengulas pelancaran Kontrak Niaga Hadapan Emas di Bursa Malaysia Derivatives Bhd, kelmarin.

Menarik pasaran runcit
Siow berkata, pelanggan yang membeli barang kemas emas bukan sahaja kerana harga tetapi juga disebabkan kemudahan kerana ia mudah diakses secara fizikal.

"Walaupun mungkin boleh menukar kontrak niaga hadapan dengan emas fizikal, saya percaya hanya peratusan kecil pelabur niaga hadapan akan berbuat demikian kerana mereka pelabur yang berbeza berbanding pelabur dalam pasaran emas fizikal," kata Siow, yang juga Pengarah Eksekutif Poh Kong Holdings Bhd.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives Bhd, Chong Kim Seng, berkata pasaran niaga hadapan emas yang baru itu, yang akan melihat kontrak diniagakan dalam ringgit, direka juga bagi menarik pasaran runcit kerana harga yang ditawarkan bagi setiap kontrak agak berpatutan kepada pelabur runcit.

Beliau berkata, tukang emas juga digalakkan melabur dalam pasaran itu kerana instrumen di pasaran niaga hadapan boleh digunakan untuk melindungi nilai terhadap turun naik harga emas.

Pelaburan kekal tinggi
Chong berkata, minat kekal tinggi dalam pelaburan berkaitan emas walaupun banyak aduan pelabur runcit mengenai skim pelaburan emas yang dipersoalkan yang menyebabkan banyak pelaburan dan simpanan hilang.

"Kebimbangan ini nyata dan perlu ditangani. Apa yang telah ditunjukkan adalah minat pelabur runcit dalam pelaburan dan perdagangan emas. - BERNAMA

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Emas - 04 Oktober 2013


Harga emas dijangka mengalami kejatuhan terbesar dalam tempoh tiga minggu.

Namun, kejatuhan itu terhad di tengah-tengah penutupan operasi Kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara itu.

Situasi semasa itu, sekali gus membantu menyelamatkan keadaan harga komiditi utama dunia itu.

Dalam minggu ini, harga emas mengalami penurunan 1.2 peratus yang mana sebahagian besarnya adalah akibat daripada arahan penjualan besar-besaran Comex pada Selasa lalu.

Ia menyebabkan harga emas jatuh di bawah paras AS$1,300 seauns, sebelum mulai pulih selepas kerajaan AS gagal mencapai kesepakatan dalam bajetnya di Washington.

Semalam, harga emas meningkat 0.2 peratus kepada AS$1,319.30 seauns pada 0620 GMT.

Dengan pasaran China ditutup sempena cuti Hari Kebangsaan sejak Isnin lalu, dan ditambah tiada sebarang perangkaan ekonomi utama terbaru AS susulan penutupan operasi kerajaannya, harga emas kelihatan tidak mencatatkan sebarang perubahan dalam waktu dagangannya di Asia semalam.

"Saya melihat (jangkaan berlakunya penurunan harga emas) sebagai sangat sensitif sekarang kerana tiada sokongan daripada peniaga China (ekoran cuti umum)," kata peniaga logam berharga itu di Hong Kong, sambil menambah bahawa sebarang berita terbaru berhubung keputusan Rizab Persekutuan AS boleh menjejaskan sentimen pasaran emas.

Peniaga emas kini memantau data AS, khususnya mengenai tahap tenaga buruh dan pasaran perumahan negara itu dengan lebih dekat bagi menilai kekuatan ekonomi AS.

Sebarang perkembangan terbaru daripada perangkaan berkenaan akan menjadi antara inti pati untuk Fed mula mengurangkan program rangsangannya ke atas ekonomi AS.

Pelaksanaan program rangsangan Fed itu, sejak ia mula diperkenalkan telah menjadi satu rangsangan mesra kepada harga emas. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Emas - 03 Oktober 2013

Harga emas jatuh semalam disebabkan penjualan pegangan oleh pelabur disebabkan ketidaktentuan berhubung penutupan operasi pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan permintaan perlahan di pasaran fizikal utama.

Logam itu menokok 2.2 peratus pada Rabu, kenaikan harian terbesar dalam dua minggu berikutan kejatuhan nilai dolar ke paras terendah lapan bulan dan ketiadaan jalan penyelesaian berhubung penutupan operasi pentadbiran negara.

Kegagalan menaikkan had pinjaman akan menyebabkan ekonomi negara itu tidak berupaya membayar hutangnya, sekali gus memberikan kesan kepada pasaran.

"Ada sedikit pengambilan untung dan jumlah dagangan rendah.

"Oktober 17 adalah tarikh luput bagi rundingan had pinjaman, dan... bagi emas saya berpendapat ia akan kembali menjadi  tarikan pelabur," kata Penganalisis VTB Capital, Andrew Kryuchenkov.

Emas spot jatuh 0.7 peratus kepada AS$1,302.60 satu auns pada 1019 GMT.

Emas jatuh tiga peratus awal minggu ini, apabila arahan jualan besar-besaran oleh Comex menyebabkan harga jatuh di bawah AS$1,300 satu auns.

Logam itu kehilangan hampir suku nilainya tahun ini.

Peningkatan kecairan bank pusat dan persekitaran kadar faedah rendah menggalakkan pelabur melabur dalam aset seperti emas.

Harga logam ini meningkat selepas data pekerjaan ADP yang lebih lemah daripada jangkaan dikeluarkan kelmarin.

Pelabur akan terus memantau angka ekonomi AS, sungguhpun banyak agensi Kerajaan Persekutuan sudah berhenti mengumpul data dan menerbitkan laporan disebabkan penutupan kerajaan itu.

Di pasaran fizikal, permintaan fizikal kekal lemah berikutan cuti umum di China bagi menyambut Hari Kebangsaan.

Perak jatuh 0.9 peratus kepada AS$21.51 satu auns.

Platinum spot pula susut satu auns kepada AS$1,374 satu auns dan palladium spot susut 0.6 peratus kepada AS$711.72 auns. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berita Emas - 02 Oktober 2013


Emas didagangkan menghampiri paras rendah dalam tempoh dua bulan semalam ekoran penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh  17 tahun yang menimbulkan kebimbangan pelabur.

Bulion mencatatkan kejatuhan peratusan harian terbesar dalam tempoh lebih daripada dua minggu semalam susulan tempahan jualan besar-besaran Comex dan penjualan teknikal sebaik sahaja harga jatuh di bawah AS$1,300 seauns.

Untuk tahun ini, emas telah susut sekitar 23 peratus daripada nilainya, sebahagian besarnya kerana kebimbangan pengurangan rangsangan AS.

Emas yang berstatus selamat juga menerima tempias daripada ekonomi yang tidak menentu dan ketegangan geopolitik.

"Jika penutupan kerajaan dan orang ramai mula menyimpan wang, bagaimana ia boleh menyokong emas?

"Anda tidak mahu memiliki emas kerana penutupan itu memberi kesan negatif kepada ekonomi dan kuasa pembelian semakin berkurang," kata Penganalisis UBS Wealth Management di Singapura, Dominic Schnider.

Emas spot naik 0.5 peratus kepada AS$1,291.90 satu auns, tidak jauh daripada sesi terdahulu, AS$1,278.24, paras terendah sejak 7 Ogos.

"Ramai orang bingung disebabkan oleh penjualan agresif berkenaan. Ia adalah kejutan besar kerana tiada siapa yang menyangka reaksi terbabit.

"Anda perlu bertindak kerana tekanan siling ini dan saya rasa akan berlaku lebih banyak lagi," kata pedagang yang berpangkalan di Hong Kong.

Penganalisis berkata, sokongan seterusnya bagi emas adalah sekitar AS$1,270 satu auns. Dengan pembeli utama, China yang menyambut cuti Hari Kebangsaan pada 7 Oktober, harga dilihat tidak melonjak semula dengan kukuh.

Pelabur kini memantau rapi situasi di AS bagi mendapatkan lebih banyak petunjuk dagangan. Penutupan selama seminggu akan melembapkan pertumbuhan ekonomi AS kepada 0.3 peratus, menurut Goldman Sachs, namun gangguan yang lebih panjang akan menjejaskan ekonomi dengan lebih teruk. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS