Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Petikan Daripada Berita Harian : Kena dakwa hari kedua berturut-turut


Farah Marshita Abdul Fatah
farahmarshita@bh.com.my

Kuala lumpur - Individu yang disyaki ada kaitan dengan pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd, sekali lagi didakwa, semalam, membabitkan 82 tuduhan pengubahan wang haram bernilai RM937.1 juta.

Tertuduh, Ng Wan Yean, 29, dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, sehari selepas dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas 19 tuduhan mengubah wang haram RM1.1 juta.

Wan Yean, 29 yang juga Pengarah Syarikat Ng Advantage Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik tuduhan dibacakan di depan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Dia didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang hasil kegiatan haram daripada akaun CIMB Bank Berhad milik Genneva Malaysia Sdn Bhd, yang semua berjumlah RM937.1 juta ke dalam akaun syarikat Ng Advantage.

Wan Yean dituduh melakukan semua kesalahan itu di RHB Bank Berhad, Nombor 75, Jalan Tun H S Lee, antara Januari 2011 hingga Ogos 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganaan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya.

Diikat jamin RM50,000

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mardziatun Nisa Ahmad Kaber, tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu adalah serius dan membabitkan jumlah yang besar.

Mardziatun berkata, jika mahkamah membenarkan ikat jamin, beliau mencadangkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin serta dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam bela, AS Dhaliwal, memohon jaminan dibenarkan terhadap anak guamannya dengan alasan tertuduh diberikan jaminan RM80,000 bagi kes di Shah Alam.

Mat Ghani  membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan kedua-dua kes didibicarakan bersama beserta syarat tambahan pasport diserahkan pada mahkamah.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 7 hingga 24 April tahun depan, manakala 27 November depan bagi pengurusan kes.

Minggu lalu, dua abang tertuduh, Wan Yee,34, dan Yee Yaw,32, bersama tiga lagi didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM937 juta.

Pada 27 September lalu, bapa tertuduh, Ng Poh Weng, 63, bersama lima individu lain didakwa atas 913 pertuduhan menerima deposit haram membabitkan urus niaga RM5.5 bilion.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment