Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Skim Pelaburan Haram Emas : Pulangan Guna Deposit Baru


Kuala Lumpur - Syarikat pelaburan dan perdagangan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd, menggunakan deposit baru untuk memberi pulangan kepada pelaburnya sebelum diserbu oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata skim pelaburan berkenaan adalah seperti pendekatan skim Pak Man Telo sebelum ini, apabila siasatan BNM mendapati wujud jurang besar antara liabiliti dan aset dimiliki syarikat itu.

Beliau berkata, liabiliti Genneva Malaysia mencecah berbilion ringgit berbanding asetnya yang hanya puluhan juta ringgit, namun jumlah pelaburan oleh rakyat begitu tinggi.

Guna deposit baru
"Sebelum BNM membuat serbuan, ia (Genneva Malaysia) menggunakan deposit baru untuk memberi pulangan, ini Pak Man (Telo) punya stail, lama-lama akan collapse (runtuh).

"Jadi BNM fikir adakah membiarkan ia berterusan semata-mata dia orang ini (pelabur) dapat pulangan, atau mengambil keputusan mengawal sebelum ia menjadi lebih besar," katanya ketika mengulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 Peringkat Jawatankuasa di dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab celahan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) yang memaklumkan dirinya diberitahu beberapa orang terbabit pelaburan itu bahawa sebelum Genneva Malaysia diserbu BNM, mereka mendapat pulangan tetapi kini tidak lagi.

Sukar ganti pelaburan
Berikutan jurang aset dan liabiliti syarikat itu begitu besar, Awang Adek berkata, adalah sukar untuk BNM menggantikan semula pelaburan yang sudah dilakukan oleh orang ramai itu.

Pada peringkat awal siasatan BNM, katanya, syarikat itu didapati menjalankan urusan pembelian dan penjualan emas sahaja, tetapi kemudian ia berubah sehingga membabitkan unsur pengambilan deposit dan kelewatan menyerahkan emas yang dijual.

Sumber : Berita Harian (24/10/2012)
Oleh : Syuhada Choo Abdullah, Syed Azwan Syed Ali & Mohd Nasaruddin Parzi

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment