Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Skim Pelaburan Haram Emas : BNM Kesan 35,000 Labur RM10 Bilion


"Ambil masa siasat syarikat Genneva" - Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin

Kuala Lumpur - Bank Negara Malaysia (BNM) mengesan 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion, terbabit dalam syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd.

Berikutan itu, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, bank pusat itu memerlukan masa untuk  menyiasat berdasarkan dua pertimbangan yang difikirkan boleh menyelesaikan masalah skim itu.

Syarikat berselindung
Katanya, yang pertama, syarikat itu berselindung dalam perniagaan emas yang mempunyai tarikan sentimental serta ramai berminat menceburinya tanpa mengira latar belakang termasuk pemimpin kerana wujud perasaan ia satu perniagaan betul.

"Kedua, Bank Negara terpaksa mengimbangi keadaan dengan tidak membuat serbuan pada satu masa, sebagai contoh, jika hari ini dikesan memulakan operasi dan kemudian diserbu dan disiasat, pelabur akan marah dengan alasan ia menjadi punca mereka hilang pulangan.

"Justeru Bank Negara kena imbangi, tidak boleh terlalu cepat masuk (serbu). Keseimbangan ini penting dan mustahak. Saya rasa kita semua akan belajar dari pengalaman ini semoga pengendali les lebih baik pada masa akan datang," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), di Dewan Rakyat, semalam.

Hukuman Berat
Menjawab soalan asal Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Awang Adek berkata Bank Negara sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman lebih berat kepada mereka yang menjalankan skim itu dalam usaha membendung kegiatan berkenaan daripada terus menipu masyarakat.

Katanya, kementerian dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain menjalankan serbuan dari semasa ke semasa ke atas syarikat yang menganjurkan pengambilan deposit yang dikesan melanggar undang-undang dan seterusnya mendakwa mereka di mahkamah.

Beliau berkata, kementerian menguatkuasakan peruntukan khas Akta Pencegahan Keganasan 2001 dengan membeku, menyita serta melucuthak segala harta dan simpanan yang dikumpul hasil daripada kegiatan pengambilan deposit haram berkenaan.

"Skim penipuan itu semakin meluas,  bahaya dan kemudahan teknologi memudahkan mereka menjalankannya secara meluas sehingga sukar dikesan pada peringkat awal.

"Sukar untuk mengambil tindakan berlandaskan internet dan apa yang kita lakukan sekarang adalah memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahayanya kerana mereka begitu terdedah dan mudah percaya pada pelaburan begitu tinggi," katanya.

Sumber : Berita Harian (01/11/2012)
Oleh : Mohd Azrone Sarabatin

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment