Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Skim Pelaburan Haram Emas : Pengarah Syarikat Kena Isytihar Harta


"Ketika ini, mereka yang terbabit dengan kegiatan syarikat yang diserbu kerana disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas kini sedang direkodkan kenyataan mereka untuk tindakan lanjut" - Kenyataan Bank Negara Malaysia 

Kuala Lumpur - Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan arahan kepada pengarah dan kakitangan kanan syarikat yang diserbu kerana menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas, mengistiharkan aset mereka.

Arahan itu, termasuk pengisytiharan aset di Malaysia dan di luar negara, selain aset yang dimiliki pasangan dan proksi mereka.

Bank pusat itu dalam kenyataan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), semalam, berkata ia bagi memudahkan dan menyegerakan proses siasatan.

Analisis terperinci
Katanya, analisis yang menyeluruh dan terperinci mengenai aset dan liabiliti syarikat terbabit sedang dijalankan dan berharap pelabur yang menjadi mangsa akan turut membantu siasatan.

Menurut kenyataan itu : "Ketika ini, mereka yang terbabit dengan kegiatan syarikat yang diserbu kerana disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas kini sedang direkodkan kenyataan mereka untuk tindakan selanjutnya.

"Langkah itu adalah tindakan susulan selepas serbuan, yang mana kenyataan pengarah dan pengurusan kanan syarikat, ejen serta pelabur yang direkodkan bagi mendapatkan maklumat serta fakta sebenar."

Serbu syarikat pelaburan
BNM, PDRM, KPDNKK dan SSM baru-baru ini menyerbu beberapa syarikat kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengambilan deposit haram dengan berselindung di sebalik kegiatan pelaburan emas.

Malah, bank pusat itu sudah mewujudkan senarai syarikat yang tidak mendapat kelulusan dan tidak sah menjalankan aktiviti pelaburan mengikut peraturan kewangan di negara ini.

Semakan senarai syarikat itu boleh dibuat di laman web, www.bnm.gov.my sebagai panduan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dalam pelaburan yang tidak mendapat kelulusan.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan terhadap kegiatan syarikat yang diserbu diberikan keutamaan dan semua sumber yang diperlukan sedang digembleng oleh semua agensi penguatkuasaan terbabit untuk mempercepatkan proses siasatan.

Orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Kdidmat Pelanggan) di talian 1-300-88-5465.

Sumber : Berita Harian (19/10/2012)
Oleh : Ahmad Fiesal Othman

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment