Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 28 April 2014


Emas meningkat ke paras tertinggi dalam satu setengah minggu semalam, berada di atas AS$1,300 seauns apabila harga saham yang lemah dan peningkatan ketegangan geopolitik di Ukraine menambah tarikan logam selamat itu.

Peniaga juga berhati-hati dengan kenaikan harga kerana mereka berkata ketegangan hanya sementara dan aliran keluar dana tukaran sokongan emas hanya berhenti sebentar.

Mereka juga sedang menunggu laporan gaji Amerika Syarikat (AS) dan mesyuarat dasar Rizab persekutuan (Fed) akhir minggu ini untuk mendapatkan petunjuk dagangan lebih kukuh.

"Walaupun harga yang melepasi AS$1,300 mungkin dianggap positif bagi pasaran logam berharga, kenaikan yang biasanya dirangsang oleh ketegangan geopolitik selalunya akan berakhir secepat ia berlaku," kata penganalisis HSBC dalam satu nota.

Spot emas berada stabil pada AS$1,302.60 seauns semalam, selepas pada awalnya mencecah AS$1,306.11, iaitu paras tertinggi sejak 16 April lalu.

Pemberontak pro-Russia menunjukkan pemerhati Eropah yang ditawan di timur Ukraine, membebaskan seorang namun berkata tidak merancang untuk melepaskan tujuh lagi apabila AS dan Eropah mempersiapkan sekatan baharu ke atas Moscow.

Ketegangan memuncak itu menarik keluar pelabur daripada saham global dan pergi kepada pelaburan selamat seperti emas.

Sentimen pelabur terhadap emas meningkat sejak beberapa hari ini.

Dana lindung nilai dan pengurus wang meningkatkan pertaruhan bulis mereka ke atas opsyen serta niaga hadapan emas dan perak, kenaikan pertama dalam tempoh lima minggu menurut data daripada Suruhanjaya Dagangan Hadapan Komiditi, Jumaat lalu.

SPDR Gold Trust, ETF emas terbesar dunia tidak menyaksikan sebarang aliran keluar sejak 22 April lalu walaupun ia juga tidak menyaksikan sebarang aliran masuk.

Pasaran sedang menunggu kenyataan dasar Fed pada Rabu dan laporan pekerjaan AS pada Jumaat untuk mengukur kekuatan ekonominya dan tinjauan bagi langkah rangsangan bank pusat AS itu.

Dalam pasaran fizikal, premium di India yang juga pengguna emas kedua terbesar dunia meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh dua setengah bulan berikutan kekurangan bekalan. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment