Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 14 April 2014


Emas melonjak ke paras tertinggi tiga minggu semalam berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Ukraine.

Palladium mencecah paras tertinggi baharu sejak Ogos 2011 pada AS$814.20 satu auns disebabkan kebimbangan tidak cukup bekalan susulan sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas pengeluar utama Russia dan mogok pekerja lombong di Afrika Selatan.

Ukraine memberikan puak pemisah pro-Russia tempoh sehingga pagi Isnin lalu untuk gencatan senjata atau berhadapan operasi ketenteraan secara besar-besaran.

Sementara itu, Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan krisis berkenaan.

Emas semerta menokok 0.5 peratus kepada AS$1,324.90 satu auns pada 0944 GMT, manakala dagangan hadapan emas bagi penghantaran Jun naik pada marjin sama kepada AS$1,325.20 satu auns.

"Ketegangan antara Russia dan Barat berhubung Ukraine memberikan sokongan kepada emas, sungguhpun kekukuhan sokongan lebih dominan datang daripada jangkaan kadar faedah di AS akan kekal rendah untuk tempoh lebih lama.

"Tetapi, berikutan data AS terus mengukuh, mungkin akan berlaku penyelarasan dalam jangkaan kadar faedah dan apabila ia berlaku emas akan menerima kesannya.

"Bagi situasi geopolitik, ia lebih sukar untuk diramal tetapi saya tidak menjangka krisis akan menjadi amat buruk dan harga pula dijangka tidak akan melepasi paras AS$1.391 pada pertengahan Mac, kata penganalisis di ABN Amro, Geogette Boele.

Aliran keluar emas berterusan dicatatkan SPDR Gold Trust, menandakan sentimen pelabur dan keyakinan prospek jangka panjang.

Pegangan dana itu susut 1.80 tan kepada 804.42 tan Jumaat lalu.

Pembelian di pasaran fizikal masih tipis dengan harga dagangan di China berada pada diskaun berbanding emas semerta.

Palladium naik satu peratus kepada AS$808 satu auns, berada di landasan kukuh untuk mencatat kenaikan sesi kelima.

Hubungan antara Russia dan Barat adalah yang terburuk sejak Perang Dingin, selepas Moscow menambahkan Crimea ke dalam negaranya, bersandarkan alasan rakyatnya berhadapan ancaman.

"AS bersedia mengenakan sekatan ke atas Moscow sekiranya tindakan tentera pro-Russia di timur Ukraine berterusan, " kata pegawai kanan utusan khas AS.

Sekatan akan tertumpu, antaranya kepada perlombongan, perbankan dan tenaga. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment