Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 24 Febuari 2014


Emas menokok hampir ke paras tertinggi empat bulan semalam, menambah kenaikan minggu lalu, berikutan pelabur melepaskan pelaburan dalam dolar dan pasaran saham disebabkan kebimbangan berterusan berhubung pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan pertumbuhan China.

Data Perkilangan AS yang lemah pada Jumaat lalu dan kenaikan harga rumah yang perlahan dalam tempoh 14 bulan di China pada Januari, menimbulkan kebimbangan baharu terhadap ekonomi terbesar dunia itu.

Ini menyebabkan ramai pelabur beralih kepada emas yang dilihat sebagai pelaburan selamat.

"Kebimbangan persekitaran ekonomi di China dan AS mendorong pelabur kembali melabur dalam emas."

"Kita kena tunggu data Mac untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung keadaan sebenar ekonomi AS, sementara itu emas dijangka mengukuh, paras rintangan teknikal berikutnya dilihat pada paras tinggi 28 Oktober pada AS$1,361," kata pemilik Quantitative Commodity Research, Peter Fertig.

Emas semerta menokok setinggi AS$1,334.50 seauns, paras tertinggi sejak 31 Oktober. Ia diniagakan pada AS$1,330.05 pada 1037 GMT, naik 0.7 peratus.

Logam itu menokok lebih sembilan peratus setakat tahun ini, menyusuli kejatuhan 28 peratus pada 2013 yang mengakhiri kenaikan selama 12 tahun.

Dagangan hadapan emas AS bagi penghantaran April menokok AS$9.70 seauns kepada AS$1,333.40.

Indeks dolar jatuh 0.1 peratus manakala saham Eropah juga lebih rendah disebabkan faktor di AS dan China yang membimbangkan. Ini berkemungkinan memberikan kesan kepada proses mempercepatkan  pengurangan rangsangan ekonomi oleh Rizab Persekutuan AS.

Bagaimanapun, minit mesyuarat Rizab Persekutuan dikeluarkan minggu lalu mencadangkan pemgurangan rangsangan monetari diteruskan buat masa ini.

Pada mesyuarat G20 hujung minggu lalu, ekonomi utama dunia mensasar menjana lebih AS$2 trilion dalam pengeluaran tambahan untuk tempoh lima tahun akan datang, mengisyaratkan tamatnya era krisis ekonomi.

Dana lindung nilai dan pengurus mata wang menambah kedudukan dalam dagangan hadapan dan opsyen emas, demikian menurut data dikeluarkan Suruhanjaya Perdagangan Hadapan Komoditi Jumaat lalu, selepas harga melepasi rintangan pada AS$1,300 seauns.

Pegangan dana lindung nilai dan pegangan spekulator merentas 22 pasaran komoditi AS menokok kepada AS$119.5 bilion pada minggu berakhir 18 Febuari daripada AS4102 bilion pada minggu berakhir 11 Febuari, demikian pengiraan Reuters ke atas data CFTC.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment