Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Syarikat Worldwide Far East Bhd. (WFEB) nafi terlibat ambil deposit, ubah wang haram

KOTA KINABALU 8 Okt. - Syarikat Worldwide Far East Bhd. (WFEB) yang diserbu Bank Negara Malaysia (BNM) bersama agensi penguatkuasaan lain di Kuala Lumpur, Jumaat lalu kerana disyaki terlibat mengambil deposit dan wang haram menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Noor Ismahanum Mohd. Ismail berkata, syarikatnya yang turut bertapak kukuh di Indonesia tidak pernah walau sekali pun menjalankan aktiviti haram seperti yang didakwa itu.

Dakwa beliau, selain menjalankan perniagaan jongkong emas, syarikatnya terlibat dalam pembinaan, perkilangan, penerbitan, pengedar dan pengimport aksesori motosikal berkuasa besar serta pendidikan.

Katanya, semua aktiviti ekonomi itu halal dan mendapat kelulusan serta lesen sah.

"Saya tidak menghalang BNM dan agensi lain menjalankan tugas, malah sedia membuka pintu tetapi wajarkah syarikat terus dituduh dan dihukum? Mengapa mereka tidak membuat siasatan terperinci terlebih dahulu dengan memanggil saya sebelum serbuan dibuat?

"Jika disebabkan aduan, kenapa tidak dirujuk kepada syarikat tentang kebenarannya. Kenapa terus dihukum dan dimalukan, di mana letaknya prinsip negara demokrasi?" katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas yang turut dihadiri kira-kira 1,000 pelanggannya di sini.

Jumaat lalu, BNM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara serentak menyerbu tiga syarikat termasuk WFEB yang menjalankan perniagaan pelaburan jongkong emas dan dipercayai mempunyai kaitan dengan Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia) yang diserbu Isnin lalu.

Dua lagi syarikat berkenaan ialah Pageantry Gold Bhd. (Pageantry Gold) yang terletak di Danau Kota dan Ceasar Gold Sdn. Bhd. (Ceasar Gold) di Jalan Klang Lama.

Noor Ismahanum turut mempertikaikan proses serbuan yang dilakukan iaitu kakitangannya di pejabat di Sri Petaling itu diarah menutup kesemua kamera litar tertutup (CCTV) dan selagi peralatan itu tidak ditutup, anggota penguatkuasaan itu hanya berdiri sahaja tanpa melakukan sebarang tindakan.

"Kenapa perlu ditutup CCTV, adakah kamera itu menghalang tugas mereka atau proses itu merupakan standard prosedur siasatan? Akibat serbuan itu menyebabkan syarikat kami dipandang hina dan kehilangan beberapa kontrak yang dianggarkan bernilai lebih RM3 juta," katanya.

Link Utusan Malaysia : http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121009/je_08/WFEB-nafi-terlibat-ambil-deposit-ubah-wang-haram

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment