Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 19 September 2012

Harga emas mencecah paras tertinggi untuk tempoh 6.5 bulan semalam selepas Bank Pusat Jepun mengumumkan pusingan baru pelonggaran dasar monetarinya, walaupun dalam keadaan yang stabil benbanding pasaran saham dan mata wang euro yang terus menurun.

Harga emas melonjak mendadak minggu lalu selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pusingan pelonggaran kuantitatifnya mengikut langkah Bank Pusat Eropah yang melancarkan program pembelian bon tanpa had baru pada awal bulan ini.

Perlanjutan dasar monetari itu dijangka mengekalkan tekanan jangka panjang kadar faedah dan mengekalkan peluang untuk memegang emas pada kos terendah selain menjana kecairan, menekan dolar dan menyemarakkan kebimbangan inflasi jangka panjang.

Emas berubah sedikit pada AS$1,772.49 setiap auns pada dagangan awal manakala harga hadapan emas AS bagi penghantaran Disember naik AS$4 seauns pada AS$1,775.20.

Harga awalnya dicatatkan  setinggi AS$1,779.10 seauns dengan paras tertingginya dicatatkan pada 29 Febuari lalu.

"Langkah pelonggaran monetari oleh bank pusat itu membuktikan pertumbuhan ekonomi yang lemah dan dipengaruhi tekanan inflasi di negara membangun.

"Corak ini kelihatannya akan berterusan sehingga kita melihat terdapatnya perubahan dalam corak pertumbuhan ekonomi. Ia seperti persekitaran merangsang untuk emas bergerak lebih tinggi.

"Tahap akan datang yang lebih tinggi mungkin pada paras AS$1,800 seauns yang kami jangkakan akan dapat dilepasi menjelang suku keempat nanti," kata penganalisis BNP Paribas, Anne-Laure Tremblay.

Harga emas menyusut sedikit daripada paras tertingginya itu berbanding dolar, sekali gus mengatasi  kenaikan awalnya dengan peniaga mengaitkan penjualan mata wang oleh bank Eropah dan aktiviti pengambilan untung berbanding yen sebelum itu.

Saham eropah turut menyusut daripada keuntungan yang dicatatkan sebelum ini apabila pasaran memfokuskan ketidaktentuan sama ada Sepanyol akan memohon bantuan kewangan hasil daripada program pembelian bon Bank Pusat Eropah.

Emas dilihat turut berupaya meneruskan peningkatannya kearah rekod tertinggi tahun lalu pada AS$1,920.30 seauns yang mana ia berdasarkan sejauh mana perubahan dalam ekonomi AS.

"Seperti pentingnya apa peristiwa QE3, kami melihat penting juga untuk menilai krisis tebing sempadan fiskal yang dihadapi AS ketika ini.

"Pada 2011, harga emas berada pada tahap tertinggi apabila dikaitkan dengan ketidakupayaan Kongres meningkatkan tahap siling hutangnya. Bukan hanya QE yang menjadi kebimbangan tetapi, kedudukan sebenar fiskal AS ketika ini adalah lebih penting," kata penganalisis Natixis, Nic Brown yang merujuk tibanya masa untuk penjimatan perbelanjaan menjelang akhir tahun secara automatik dan peningkatan cukai di AS. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment