Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Implikasi Cukai Emas - Public Gold Tubuh Jawatankuasa Khas Mengenai GST


Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
bisnes@hmetro.com.my

Georgetown - Public Gold Marketing Sdn Bhd (Public Gold) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan implikasi cukai terhadap barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus yang dikenakan dalam industri logam pelaburan berharga (Invesment Precious Metal - IPM) termasuk jongkong emas dan perak.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Public Gold, Datuk Louis Ng (gambar) berkata, jawatankuasa yang dianggotai 11 orang membabitkan pengusaha emas, bank dan peniaga emas itu bertujuan menyuarakan pendapat terhadap implikasi sebenar apabila cukai berkenaan dikenakan.

Beliau berkata, dalam senario pasaran emas dunia global, negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia Hong Kong, New Zealand dan Australia tidak mengenakan GST berbanding Amerika Syarikat (AS) yang hanya mengenakan GST terhadap pembelian lebih AS$1,000 (RM3,300) serta United Kingdom yang hanya mengenakan 20 peratus Value Added Tax (VAT) untuk perak.

Katanya, GST dilihat boleh menyebabkan kadar inflasi negara meningkat secara one-off atau sekali saja pada peringkat awal pelaksanaan serta mampu memberikan reaksi kejutan pasaran apabila peniaga menaikkkan harga dan pengguna pula panik dengan perubahan harga serta tidak mahu melakukan pembelian.

"Saya berpendapat, IPM perlu dikecualikan GST kerana emas tergolong dalam elemen yang diiktiraf sebagai aset kewangan penting seperti instrumen  kewangan lain yang aktif didagangkan termasuk saham dan bon.

"Ia bukan sebagai elemen  yang membabitkan kos pembuatan, fesyen dan tidak berpandukan harga emas antarabangsa serta memiliki berat dan kualiti disahkan pakar ketulenan emas (assayer).

"Dari segi pelaburan pula, implikasi GST tidak akan menjadi nilai pelabutan utama kerana mereka tidak mahu menghadapi masalah kewangan yang boleh menjejaskan risiko inflasi, pertukaran mata wang luar negara dan nilai mata akan jatuh," katanya, semalam.

Louis berkata, implikasi itu mampu mengundang pembelian emas dan perak pada pasaran haram termasuk berlaku penyeludupan emas seperti implikasi yang pernah berlaku di India dan sudah pasti tiada kemasukan keuntungan pada mata wang negara, sebaliknya memberi keuntungan luar dalam pembelian emas dan perak secara haram.

Beliau berkata, negara akan menghadapi kerugian termasuk membabitkan peniaga emas berikutan ketiadaan pembeli dan pada masa yang sama, implikasi GST dijangka turut menimbulkan keraguan apabila ia boleh dikaitkan dengan isu syariah dan fatwa selain menggalakkan pelaburan emas hanya pada kertas bukannya emas fizikal yang dimiliki sendiri.

"Kami harap jawatankuasa khas ini akan membentangkan segala usul dan ia akan diterima pakai oleh kerajaan untuk menimbangkan segala aspek sebelum GST dikuatkuasakan pada 1 April 2015", katanya.

Sumber : Harian Metro (23/04/2014)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment