Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 17 April 2014


Harga emas kekal stabil diniagakan melebihi paras AS$1,300 semalam susulan isu ketegangan di Ukraine.

Bagaimanapun, logam berharga itu berdepan risiko bagi mencatatkan peningkatan kerana kerugian baru-baru ini yang mana dana berdasarkan emas terbesar dunia menyaksikan aliran keluar yang ketara dalam hampir empat bulan.

Emas susut hampir dua peratus kelmarin kerana paras terendahnya dalam 1 - 1/2 minggu kerana jualan teknikal dan kebimbangan mengenai permintaan lemah di negara pengguna terbesar komoditi itu, China. Ia bagaimanapun kembali stabil melebihi paras AS$1,300 seauns.

Pada 0710 GMT, harga emas susut 0.3 peratus kepada AS$1,298.56 seauns. Manakala perak, juga menyusut sebanyak 0.2 peratus.

"Walaupun kita tidak mempunyai pandangan kukuh terhadap emas dalam tempoh terdekat, laluan kepada kurang rintangan adalah menurun dan gambaran teknikal mencadangkan kerugian pada yang seterusnya," kata penganalisis ANZ dalam nota penyelidikannya.

Bagaimanapun, katanya keadaan pasaran masih tidak menentu dan emas dijangka meningkat dengan lebih cepat.

Kenaikan harga saham juga boleh memberi dorongan kepada harga emas, yang sering dilihat sebagai aset pelaburan alternatif.

Sementara itu, kontrak hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah semalam berikutan kekurangan permintaan, kata peniaga.

Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Thomas Yew Jia-Jong, berkata pasaran hadapan emas mengambil petunjuk daripada kelemahan Bursa komiditi New York yang meneruskan kejatuhan berikutan permintaan lembap dari China.

Permintaan yang rendah dijangka memberi tekanan kepada harga emas dan harga akan kekal pada sentimen yang agak lemah.

"Esok (hari ini) ia dijangka diniaga rendah sedikit," katanya.

Bulan semasa, April 2014 susut 60 sen atau 12 mata kepada RM135.25 segram, Mei 2014 dan Jun 2014 rugi 85 sen atau 17 mata tiap satu masing-masing kepada RM135.50 segram dan RM135.80 segram dan Julai 2014 jatuh RM1.15 atau 23 mata kepada RM135.85 segram.

Kedudukan terbuka meningkat kepada 1,749 kontrak berbanding 1,575 kontrak kelmarin manakala jumlah dagangan menambah kepada 406 lot bernilai RM5.45 juta, berbanding 265 lot bernilai RM3.56 juta kelmarin.

Emas fizikal susut 45 sen kepada RM130.78 segram. - REUTERS / BERNAMA

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment