Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Lagi syarikat jongkong emas diserbu

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Tiga lagi syarikat yang menjalankan perniagaan pelaburan jongkong emas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia) diserbu oleh pihak berkuasa hari ini kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk pengambilan deposit secara haram dan pengubahan wang haram.

Serbuan terhadap syarikat Pageantry Gold Bhd. (Pageantry Gold) yang terletak di Danau Kota, Ceasar Gold Sdn. Bhd. (Ceasar Gold) di Jalan Klang Lama dan Worldwide Far East Bhd. (Worldwide Far East) di Jalan Raden Bagus, Sri Petaling di sini, dibuat serentak bermula pukul 1.30 petang ini.

Serbuan itu dilakukan oleh Bank Negara Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ketiga-tiga syarikat tersebut dipercayai menjalankan perniagaan sama seperti syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia yang diserbu oleh pihak berkuasa pada Isnin lalu.

Genneva Malaysia diserbu setelah beberapa pelabur yang menjadi mangsa membuat laporan polis baru-baru ini.

Genneva Malaysia yang mula beroperasi sejak 2010 itu dipercayai menjalankan urus niaga bernilai kira-kira RM4 bilion termasuk melibatkan pelaburan kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli perniagaan dan orang kenamaan (VIP).

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, serbuan terhadap Pageantry Gold, Ceasar Gold dan Worldwide Far East dilakukan kerana ketiga-tiga syarikat itu disyaki melakukan kesalahan seperti mengambil deposit secara haram, menggubah wang haram, mengelak cukai, memberi deskripsi palsu termasuk gambaran yang salah dan melantik ejen tanpa lesen.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak dengan agensi yang berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatannya menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa.

"Orang ramai juga diingatkan supaya berhati-hati apabila melabur dalam skim yang tidak tertakluk kepada mana-mana peraturan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, agensi penguatkuasaan akan mengambil tindakan ke atas skim kewangan haram untuk melindungi kepentingan pelabur dan orang ramai.

Ketiga-tiga syarikat berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 serta Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram.

Sementara itu, sumber ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, pihak berkuasa masih menyiasat lanjut sama ada ketiga-tiga syarikat pelaburan itu mempunyai kaitan dengan Genneva Malaysia yang diserbu sebelum ini.

"Berapa jumlah kerugian dialami pelabur dan siapa yang menjadi mangsa ketiga-tiga syarikat pelaburan juga masih dalam siasatan," katanya.

Mengenai Genneva Malaysia, sumber berkata, kes membabitkan syarikat berkenaan masih lagi dalam siasatan.

Beliau berkata, selain serbuan terhadap pejabat syarikat itu yang terletak di Jalan Kuchai Lama di sini, pihak berkuasa turut menyerbu beberapa cawangan syarikat tersebut yang terletak di negeri-negeri lain dan luar negara termasuk Singapura, China, Hong Kong dan Filipina.

Katanya, selain mengambil beberapa dokumen, pihak berkuasa turut merampas wang tunai dan emas bernilai jutaan ringgit dari pejabat syarikat-syarikat yang diserbu.

Link Penuh - http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121006/dn_17/Lagi-syarikat-jongkong-emas-diserbu 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment