Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Berita Emas - 14 September 2012

Harga emas meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh enam bulan semalam selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pelaksanaan program rangsangan selanjutnya, tetapi sesetengah penganalisis  pasaran jangka pasaran akan berehat sebentar sebelum meningkat semula.

Emas mencatatkan peningkatan yang sederhana semalam selepas melonjak dua peratus kelmarin dan kira-kira 10 peratus berbanding bulan lalu, berikutan pelaksanaan pelonggaran kuantitatif yang diambil bank pusat AS.

Pada Khamis, Rizab Persekutuan AS melaksanakan program pembelian hutang gadai janji dan berjanji akan mengekalkan kadar faedah pada paras terendah sehingga sekurang-kurangnya pertengahan 2015.

Perak, platinum dan palladium, yang digunakan secara meluas dalam perkakasan industri, juga meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh enam bulan kerana minat terhadap aset berisiko meningkat selepas tindakan Rizab Persekutuan AS itu.

Emas naik 0.45 peratus kepada AS$1,774.27 seauns selepas meningkat sehingga AS$1,777.51 seauns, iaitu paras tertinggi sejak 29 Febuari.

"Selepas pergerakan yang dicatatkan, bukan sahaja semalam, tetapi lebih dua atau tiga minggu lalu, saya rasa adalah semula jadi untuk melihat tempoh penyatuan.

"Bagaimanapun, menjelang hujung tahun ini, saya akan jangkakan, harga emas akan mencecah paras sekurang-kurangnya sekitar AS$1,850," kata Tom Kendall, penganalisis di Credit Suisse London.

Sementara itu, emas tunai berada dalam keadaan kukuh untuk mencatatkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus pada minggu ini, iaitu minggu keempat menunjukkan peningkatan ketara secara berturut-turut kerana pelabur didorong oleh tindakan terbaru bank pusat untuk merangsang pertumbuhan global dengan mencetak lebih banyak tunai.

Platinum melonjak lebih dua peratus kepada paras tertinggi dalam tempoh enam bulan kepada AS$1,713 seauns, kerana kebimbangan terhadap bekalan.

Platinum meningkat lapan peratus pada minggu ini, iaitu peningkatan harga mingguan tertinggi yang dicatat sejak Oktober lalu.

Palladium berada pada paras enam bulan tertinggi pada AS$698.75 sementara perak meningkat kepada paras tertinggi dalam enam bulan pada AS$34.92 seauns. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment